12
Sel, Dis

Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia Di Kediamannya Akibat Sakit Asma

Sarawak
Typography

KUCHING - Seorang lelaki warga emas ditemui telah meninggal dunia akibat sakit asma yang dialaminya  di kediamannya di Jalan Keranji Tabuan Jaya di sini malam tadi.

Laporan kejadian berkenaan telah diterima daripada menantu lelaki mangsa yang bertugas sebagai arkitek sekitar jam 4 petang yang memaklumkan bapa mertuanya mengalami masalah dirumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, mangsa dikenali sebagai Tan Thuan Loi, 83 tahun di mana pengadu telah membuat aduan dengan menghubungi Balai Polis Tabuan Jaya.

“Sebaik menerima aduan dari pengadu, pihak polis telah bergerak ke lokasi kejadian dan turut  menghubungi pihak Bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Turut berada di lokasi kejadian ialah doktor dan pasukan perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dimana simati telah disahkan oleh pihak perubatan telah meninggal dunia,” katanya.

Siasatan awal mendapati si mati mengalami sakit asma dan tiada unsur-unsur jenayah dikesan dari pemerhatian ke atas badannya.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pihaknya telah menerima laporan bantuan dari pihak polis pada jam 4.08 petang semalam. 

Sejurus laporan diterima, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya telah digerakkan ke lokasi kejadian dan Komander Operasi melaporkan yang pihak polis telah berada di tempat kejadian.

“Anggota Bomba terus melakukan kerja-kerja memotong mangga dilakukan bagi memudahkan pihak polis untuk memasuki rumah tersebut. 

“Sebaik memasuki rumah berkenaan, mereka menjumpai seorang lelaki warga emas terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan telah meninggal dunia oleh pihak perubatan,” ujarnya.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak olis untuk tindakan selanjutnya.