12
Sel, Dis

Anggota Tentera Laut Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya

Sarawak
Typography

LIMBANG - Seorang anggota tentera laut maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 18, Jalan Medamit, di sini tengahari semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 12.15 tengahari itu, mangsa Azman bin Ayob, berumur 38 tahun disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kaki kiri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Deputi Superintendan Bing Kok John berkata ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda dikatakan hendak memotong kenderaan yang berada di hadapannya sebelum motosikal yang ditunggang hilang kawalan dan menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan.

"Siasatan awal mendapati mangsa sedang bergerak dari bandar Limbang menuju ke Tedungan. 

"Sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa cuba memotong kenderaan di hadapannya dengan masuk ke arah bertentangan.

"Ketika memotong secara tiba-tiba motosikal yang ditunggang hilang kawalan dan mangsa terjatuh atas jalan sebelum masuk dibawa tayar sebuah lori sawit yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Katanya, akibat kemalangan itu mangsa telah mengalami kecederaan parah di mana kaki kiri mangsa hampir putus.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pegangkutan Jalan (APJ)1987.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Limbang untuk bedah siasat," ujarnya.

Sementara itu, pemandu lori sawit berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.