21
Sel, Nov

Tiada Perancangan Naik Taraf Atau Melebar Jalan Di Daerah Mukah

Sarawak
Typography

KUCHING – Setakat ini Majlis Daerah Dalat dan Mukah tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menaik taraf atau melebar jalan yang ada di Kampung Lintang, Kampung Masjid, Kampung Pulat dan juga Kampung Baru di Mukah.

Ini berikutan tempat-tempat tersebut tidak mempunyai rezab jalan yang mencukupi untuk dinaik taraf jalan.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datu Dr. Penguang Manggil berkata, setakat ini pihak majlis daerah hanya melakukan kerja-kerja menurap semula jalan-jalan tersebut.

“Walau bagaimanapun pihak Majlis Daerah Dalat dan Mukah telah menurap empat buah jalan tersebut dengan kos sebanyak RM812,000.

“Pihak kerajaan juga merancang untuk melebarkan jalan-jalan di Kampung Jebungan dan Kampung Suyong pada tahun hadapan,” katanya ketika menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yalub Arbi dalam sesi soal jawab pada Persidangan Hari Kelima Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Kelapan Belas pada pagi tadi.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kos melebar jalan di kedua-dua kampung berkenaan dianggarkan menelan kos sekitar RM1.85 juta.

“Kerja-kerja melebar dan membaik pulih jalan di Kampung Jebungan dan Kampung Suyong daripada 4.3 meter yang ada sekarang kepada 5 meter sepanjang 2.2 kilometer dianggarkan akan melibatkan belanja sebanyak RM1.85 juta ringgit.

“Sekiranya jalan-jalan di empat buah perkampungan iaitu di Kampung Lintang, Kampung Masjid, Kampung Pulat dan juga Kampung Baru perlu diperlebarkan melebihi rezab jalan yang sedia ada dan melibatkan tanah persendirian, maka MDDM perlu berbincang dengan penduduk penduduk kampung tersebut untuk mendapat persetujuan dan kerjasama mereka supaya kerja-kerja melebar jalan tersebut dapat dilaksanakan tanpa sebarang pampasan untuk kebaikan dan kesejahteraan penduduk di kawasan tersebut,” tambahnya lagi.