21
Sel, Nov

Projek Bekalan Air Bersih Terawat Di Kampung Sepanjang Jalan Mentung Marau Dan Jalan Mongkos Dalam Proses Akhir

Sarawak
Typography

KUCHING – Projek bekalan air bersih terawat luar bandar bagi kawasan Mentung, Marau dan Mongkos di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup telah ditawarkan kepada kontraktor pada minggu pertama bulan ini November 2017.

Sementara itu tarikh bagi pemilikan tapak bagi projek berkenaan akan diadakan pada hari ini 14 November 2017.

Menteri Muda Bekalan Air Sarawak Datuk Liwan Lagang berkata, bagi kawasan yang belum ada bekalan air bersih yang terawat ianya akan dimasukkan dalam program Pembekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

Mengenai skop kerja pula, Liwan memaklumkan ianya merangkumi kerja pemasangan paip sepanjang lebih 150 kilomoter.

“Skop kerja bagi projek bekalan air bagi kawasan Mentung, Marau dan Mongkos ialah pemasangan paip sepanjang lebih daripada 150 kilometer termasuk stesen pam pengalak, tangka simpanan air dan kos pembinaan projek tersebut dianggarkan berjumlah RM100 juta.

“Manakala, tempoh bagi pembinaan projek tersebut dianggarkan selama 24 bulan atau 2 tahun,” katanya ketika menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Martin Ben dalam sesi soal jawab pada Persidangan Hari Kelima Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak  Kelapan Belas pada pagi tadi.

Katanya lagi, jika siapnya projek tersebut nanti, ianya akan memberi manfaat yang besar kepada 48 buah kampung, 18 buah sekolah termasuklah sekolah berasrama iaitu melibatkan 3,469 keluarga dan seramai 20,831 orang pengguna atau penduduk yang selama ini hanya bergantung dengan bekalan air yang ditadah dari air hujan sahaja untuk kegunaan seharian.