24
Jum, Nov

Bajet 2018 Negara Lebih Inklusif, Seimbang Dan Memenuhi Keperluan Rakyat Luar Bandar Sarawak

Sarawak
Typography

KUCHING – Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri lebih inklusif, serta seimbang bagi meningkatkan pendapatan dan keperluan rakyat serta lebih menumpukan memajukan kawasan-kawasan luar bandar di Sarawak.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Hassan Busu berkata, di Sarawak sahaja Perdana Menteri telah megumumkan peruntukkan penaiktarafan jalan raya, elektrik dan air dan rumah PRIMA.

Beliau turut menekankan peruntukkan untuk membangunkan ekonomi digital di Sarawak selaras dengan matlamat Ketua Menteri Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang berlandaskan ekonomi digital.

“Ini adalah salah satu sebab mengapa Ketua Menteri kita telah pergi ke negara seperti Estonia dan Eropah baru-baru ini untuk mengetahui lebih lanjut lagi bagaimana negeri tersebut mempunyai kelajuan internet. Untuk memajukan digital ekonomi di Sarawak, perkara ini seharusnya diutamakan terlebih dahulu.

“Selain daripada itu, melalui digital ekonomi juga masyarakat dapat memperoleh pendapatan tambahan kerana sekarang ini semakin ramai yang mula menjual produk secara atas talian. 

"Masyarakat juga dapat mempromosi hasil tani mereka dan menjual hasil tersebut contohnya seperti sekarang ada seorang pengusaha yang menjual sejenis tumbuhan yang dinamakan Sacha Inchi di mana penghasilan 1 liter minyak tersebut dapat memperoleh sebanyak RM800 dan penjualan biji benih tersebut mencecah nilai RM150. Ianya adalah satu cara yang sangat menguntungkan untuk menambah pendapatan," jelasnya ketika berucap pada Majlis "Engagement with Community" di Sri Aman baru-baru ini.

Hassan turut berharap agar semua komuniti akan tetap memberi kerjasama untuk tahun-tahun yang akan datang dan berterima kasih atas kerjasama mereka selama ini sebagai penyampai maklumat dan sumber untuk mendapatkan maklumat.

Program "Engagement with Community ini merupakan program anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak bagi tujuan mengeratkan lagi silaturrahim antara jabatan dan ketua-ketua kaum serta orang-orang berpengaruh di kawasan bagi mengumpul dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat tentang isu, kepimpinan dan sebagainya untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan moto JASA sendiri iaitu "Memimpin Pendapat Rakyat" ke arah menyokong kerajaan sedia ada.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.