24
Jum, Nov

RM274,000 Telah Diluluskan Bagi Menguji Tahap Keselamatan Sistem Elektrik Di 220 Buah Fasiliti Kesihatan Sarawak

Sarawak
Typography

KUCHING – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan peruntukan sejumlah RM274,000 bagi menguji tahap keselamatan sistem elektrik di 220 buah fasiliti kesihatan di Sarawak pada tahun 2016.

Daripada 220 buah klinik berkenaan, 40 buah daripadanya merupakan klinik dibawah Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Miri telah diuji pendawaian oleh syarikat yang kompeten dengan jumlah peruntukan sebanyak RM54,000.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Annuar Rapaee berkata, bagi pengujian di 40 buah klinik berkenaan sebanyak 24 daripada jumlah berkenaan merupakan klinik kesihatan yang berada di daerah Baram.

“Manakala, bagi tahun 2017, sejumlah 19 buah klinik ini telah diuji keselamatannya dari sistem elektriknya di kawasan Baram dan sebanyak RM1.07 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf sistem elektrik di 19 buah klinik di mana terdapat 24 buah klinik di kawasan Baram,” katanya ketika menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau dalam sesi soal jawab pada Persidangan Hari Kelima Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak  Kelapan Belas pada pagi tadi.

Annuar juga turut memaklumkan di bawah Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK-10) ada 3 buah klinik baru yang dibina di kawasan Baram iaitu Klinik Kesihatan Bario dan Klinik Kesihatan Long Lama yang telah dinaik taraf lebih tinggi daripada yang dimaksudkan iaitu dijadikan klinik kluster dan juga Klinik Long Jekitan.

Manakala, bagi kawasan Long San pula, ianya sedang dalam proses mengenal pasti tapak dan ADUN dimohon untuk memberi kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak untuk memberitahu tapak yang bersesuaian untuk pembinaan Klinik Long San agar dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

 

Mengenai masalah genset atau sistem generator hanya 17 buah klinik yang masih mengunakan sistem genset berkenaan dimana tiga buah daripada jumlah berkenaan sedang dalam proses menaik taraf untuk disambung ke talian grid manakala 4 lagi telah mendapat bekalan elektrik daripada pihak Sarawak Energy Berhad.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.