24
Jum, Nov

Kekalkan Semangat Kesetiaan Kepada Barisan Nasional – Abang Zohari

Sarawak
Typography

KUCHING - Semangat kesetiaan ahli-ahli parti kepada Barisan Nasional (BN) harus dikekalkan untuk mengangkat Sarawak sebagai sebuah ekonomi digital pada masa akan datang.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau amat menghargai kesetiaan ahli-ahli Parti Demokratik Progresif (PDP) kepada parti dan juga kepada BN walaupun terpaksa menghadapi berbagai cabaran dan rintangan. 

“Terima kasih kepada Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Presiden PDP dan seluruh barisan kepimpinan dan semua ahli PDP baik di Sarawak ataupun berada di luar negeri Sarawak dengan telah menunjukkan semangat yang kuat dalam usaha kita bersama memperkukuhkan BN di negeri Sarawak ini.

“Saya percaya dengan kerjasama daripada PDP dan semua komponen BN yang lain kita telah dapat bersama dalam pilihan raya negeri yang lepas di bawah kepimpinan Allahyarham Adenan Satem,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang mewakili Ketua Menteri Sarawak Majlis Pelancaran Nama dan Logo Progressive Democratic Party (PDP) semalam.

Dalam teks ucapan beliau juga menyatakan bahawa Sarawak harus menentukan masa depan sendiri tanpa perlu bergantung daripada orang lain untuk menghulurkan bantuan dari segi kewangan.

“Jika ada bantuan yang dihulurkan kita mengucapkan terima kasih namun kita sendiri perlu menentukan masa depan kita sendiri dan kita harus mengawal sumber kita untuk meningkatkan pendapatan kepada negeri kita,” ujarnya lagi.

Abang Zohari turut menyatakan Sarawak perlu menjalani satu transformasi taraf pertanian yang menguntungkan dan bukan lagi pertanian yang hanya bergantung kepada subsidi dan bantuan kerajaan.

“Oleh itu, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukkan sebanyak RM100 juta untuk tujuan menyediakan modal kepada para petani, nelayan ataupun penternak bagi menjadikan pertanian asas kepada pendapatan yang menguntungkan Sarawak.

“Saya bersama rombongan dari negeri Sarawak telah melawat Estonia pada bulan lepas dan mempelajari bagaimana mereka boleh melonjak menjadi sebuah negara yang maju dan memberi fokus kepada teknologi digital dalam kebanyakkan urusan di negara berkenaan,” jelasnya.

Menurut beliau, kaedah ekonomi konvensional berdasarkan sumber tidak akan berupaya melonjakkan ekonomi negeri Sarawak ke tahap yang dinikmati negara-negara yang sudah maju seperti Estonia. 

Terdahulu, Pengerusi PDP Dato' Seri Tiong King Sing menyatakan PDP yang telah ditubuhkan pada tahun 2002 merupakan sebuah parti berbilang kaum dan parti komponen BN. 

Proses penjenamaan dan transformasi ini dibuat bagi meningkatkan lagi pengaruh serta pandangan masyarakat terhadap PDP. 

Tiong berkata sehingga kini sudah wujud Bahagian PDP di negeri Johor yang mempunyai yang mempunyai ahli seramai lebih kurang 5,000 orang dan sehingga ke hari ini seramai 2,500 ahli sudah mendaftar sebagai pengundi di negeri tersebut dan bakal menjadi penentu kemenangan bagi BN dalam PRU Ke 14 akan datang. 

PDP juga mempunyai enam bahagian iaitu N.40 Tiram, N.42 Johor Jaya, N.43 Permas, N.48 Skudai, N49. Nusajaya dan N.52 Senai manakala di Selangor telah dikenal pasti untuk diwujudkan tiga bahagian baru dan Negeri Sembilan sebanyak dua bahagian baru serta beberapa bahagian baru di Lembah Kelang.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.