24
Jum, Nov

ADUN Saribas Mohon Kerajaan Bina Jalan Baru Dari Jalan Suri Ke Kampung Tuie Debak

Sarawak
Typography

KUCHING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Razi Sitam memohon kepada pihak kerajaan agar membina jalan baru bermula dari Jalan Suri ke Kampung Tuie Debak bagi merancakkan lagi sektor pertanian di kawasan tersebut.

Jalan sepanjang 9.5 kilometer tersebut amat penting kerana ianya akan melalui satu kawasan pertanian lama di daerah Debak yang dipanggil Lubok Tamang.

Katanya, buat masa ini kawasan tersebut hanya boleh dihubungi melalui Sungai Rimbas dan akibat kesukaran tiada jalan darat banyak tanaman telah terbiar dan tidak terpelihara.

“Buat masa ini, kawasan tersebut hanya boleh dihubungi melalui Sungai Rimbas dan banyak hasil tanaman petani terbiar dan tidak terpelihara kerana factor tiada jalan darat untuk mengangkut hasil tani penduduk.

“Justeru itu saya mencadangkan kepada pihak kerajaan agar membina jalan ke kawasan pertanian tersebut di Lubok Tamang dan menjadikan kawasan berkenaan sebagai satu lagi pusat pembangunan agropolitan bagi Dewan Undangan Negeri Saribas,” katanya dalam ketika turut serta dalam perbahasan bacaan kali yang kedua Rang Undang-Undang Perbekalan (2018) 2017 dan usul untuk merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan bagi Perbelanjaan 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini petang semalam.

Menurut Razi lagi, pembinaan jalan tersebut perlu kerana ianya juga akan berfungsi untuk menghubungkan kampung-kampung lain yang ada dalam DUN Saribas iaitu Kampung Bungin, Kampung Serembang, Kampung Mangut, Kampung Tuie, Kampung Serabang, Kampung Supa, Kampung Medang dan juga kampung-kampung dan rumah panjang yang ada di daerah Debak.

Beliau turut mencadangkan agar pihak kerajaan menjadikan kawasan pertanian berkenaan sebagai hub pengeluaran hasil tanaman nanas, jagung bijirin, kelapa, kelapa sawit dan juga pisang termasuklah tanaman-tanaman lain yang bersesuaian dengan tanah di sana.

“Sekiranya ia berjaya diwujudkan, ini sangat bertepatan dengan pengumuman Ketua Menteri Sarawak dan Menteri Pertanian sebelum ini yang mahukan daerah Betong, Saratok dan Sarikei sebagai “Basket Food” negeri Sarawak bagi tujuan eksport,” ujarnya.

Dalam isu yang berlainan, Razi memaklumkan yang DUN SAribas mengalami pembangunan yang baik di Rural Tranformation Projects (RTP) namun masih terdapat masalah yang dihadapi penduduk terutama sekali masalah keperluan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih.

“Untuk makluman, masih terdapat banyak penduduk di kampung-kampung dalam DUN saya yang masih menunggu skim bantuan elektrik.

“Penduduk terutama sekali di Kampung Sebemban yang masih menunggu  sejak beberapa tahun yang lalu sehingga sekarang masih lagi tiada tindakan daripada pihak berwajib.

“Ianya bukan sahaja berlaku di Kampung Sebemban tetapi berlaku di rumah-rumah baru di kawasan DUN saya,” tambahnya lagi.

Justeru itu, beliau amat berharap agar masalah penduduk untuk menikmati kemudahan elektrik ini akan dapat diselesaikan dengan segera dan diberi keutamaan khususnya rumah-rumah baru di setiap kampung.

Selain masalah bekalan elektrik, masalah bekalan air turut menhantui penduduk di kawasan DUN Saribas apabila sehingga kini masalah berkenaan masih gagal diatasi dan penduduk juga tertanya-tanya bila bilakah projek berkenaan masalah air akan dapat dilaksanakan.

Pada masa kini, bekalan air dan elektrik merupakan keperluan yang paling asas dan paling diperlukan dan beliau menyeru kepada kerajaan agar masalah tersebut menjadin keutamaan untuk penyelesaian dan pelaksanaan pembangunan di masa kini dalam memastikan tiada kampung mahupun rumah panjang yang ketinggalan dari arus pembangunan.

Beliau mahukan agar semua rakyat menikmati semua kemudahan infrastruktur ini pada era ekonomi zaman moden ini.

“Saya yakin dengan adanya keperluan-keperluan asas seperti air, bekalan elektrik jaringan jalan raya yang banyak maka lebih mudah untuk kita merealisasikan pembangunan ekonomi penduduk.

 

“Malah, saya juga yakin penduduk akan lebih kreatif dan berinovatif membangunkan aktiviti ekonomi mereka,” katanya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.