24
Jum, Nov

Murum Perlukan Lebih Rangkaian Sistem Telekomunikasi Terbaik

Sarawak
Typography

KUCHING - Selaras dengan dasar dan inisiatif kerajaan ke arah negeri berasaskan digital ekonomi, pastinya setiap kawasan terutama sekali masyarakat di kawasan luar bandar memerlukan menara dan rangkaian sistem telekomunikasi yang baik untuk membolehkan mereka mengakses kepada internet. 

Justeru itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chuk Pai Ugon berharap agar rangkaian sistem telekomunikasi di kawasan berkenaan dapat dipertingkatkan.

Ianya kerana masih terdapat banyak kawasan yang belum menikmati kemudahan ini kerana kekurangan menara telekomunikasi.

“Oleh itu, saya mohon agar lebih banyak menara telekomunikasi dibina di kawasan-kawasan pedalaman di Murum untuk membolehkan masyarakat di sekitar kawasan tersebut dapat menikmati kemudahan ini agar tidak ketinggalan dalam agenda transformasi digital ekonomi ini,” katanya pada petang tadi pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak ketika turut serta dalam perbahasan atas bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan (2018) 2017 dan Usul merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan bagi Perbelanjaan 2018 oleh Ketua Menteri Sarawak dan Menteri Kewangan pada 8 November 2017 yang lepas.

Dalam perbahasan tersebut juga, Chukpai turut berharap agar dengan pengumuman peruntukan sebanyak RM3.062 billion bagi perbelanjaan pembangunan di luar bandar ianya tentu sekali memberi berita gembira buat masyarakat di kawasan luar bandar.

“Pengumuman peruntukan sebanyak RM3.062 billion bagi perbelanjaan pembangunan di luar bandar tentu sekali membawa berita gembira kepada rakyat di luar bandar khasnya rakyat di DUN Murum sendiri yang masih memerlukan pembangunan terutamanya dari segi infrastruktur asas dan sosial seperti jalan raya, bekalan air bersih terawat, bekalan elektrik, sistem telekomunikasi, kemudahan kesihatan, prasarana pendidikan, prasarana sukan, pusat komuniti (rural service centre), pusat pengumpulan produk desa (rural collection centre) dan pusat transformasi luar bandar.

“Justeru, seiring harapan belanjawan ini, izinkan saya mengutarakan beberapa keperluan yang sangat memerlukan pertimbangan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan di kawasan DUN Murum sebagai membalas sokongan rakyat dan merealisasikan impian untuk menikmati buah kemerdekaan negara ini,” ujarnya lagi.

Beliau juga turut memohon kepada kerajaan agar membina jalan yang lebih sempurna terutama sekali di kawasan Tubau/Jelalong, Urun, Murum dan Ulu Sungai Linau yang pada masa kini hanya boleh dihubungi dan dilalui dengan menggunakan jalan bekas balak yang telah rosak dan ianya perlu dinaik taraf dengan segera.

Jika jalan yang lebih baik dan sempurna dapat disediakan, beliau yakin ianya akan dapat mentransformasikan sosio ekonomi penduduk di kawasan-kawasan tersebut apabila tanah-tanah mereka daapt diusahakan secara intensif dan memudahkan penduduk memasarkan hasil dan produk mereka di luar kawasan.

Dalam perkembangan lain, biarpun di kawasan DUN Murum mempunyai dua empangan hidro elektrik iaitu Empangan Bakun dan Empangan Murum yang merupakan nadi tenaga negeri ini, masih terdapat kawasan kediaman yang belum lagi menikmati bekalan tenaga elektrik.

“Sepertimana yang kita semua maklum di DUN Murum terdapat dua empangan hidro electrikiti iaitu Empangan Bakun dan Empangan Murum yang merupakan 'power house' atau nadi tenaga negeri ini, tetapi malangnya masih ada tempat di kawasan saya di Murum belum Iagi menikmati bekalan tenaga elektrik.

“Oleh itu, saya memohon untuk dibekalkan tenaga elektrik terus dari grid ke semua rumah panjang yang berdekatan dengan Grid dibawah Program RES (Rural Electricitification Scheme) dan Program SARES (Sarawak Alternatif Rural Electricitification Scheme) bagi rumah panjang yang jauh di pendalaman di kawasan DUN Murum,” katanya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.