24
Jum, Nov

Mohon Wujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan Di DUN Meluan

Sarawak
Typography

KUCHING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat anak Jubin memohon kepada Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar agar mewujudkan “Taman Kekal Pengeluaran Makanan” (TKPM) di kawasan DUN Meluan. 

Menurut Rolland, daerah Julau di bawah DUN Meluan dengan reputasinya sebagai pengeluar utama komoditi lada yang berkualiti dan bermutu tinggi.

Justeru itu, bagi memantapkan lagi sosio ekonomi penduduk di kawasan tersebut, beliau memohon kepada kerajaan agar mempertimbangkan dan melaksanakan beberapa inisiatif bagi merancakkan lagi ekonomi penduduk di sana.

“Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar dimohon agar mewujudkan TKPM di DUN Meluan di mana buah durian 'Musang King' diihat berpotensi tinggi untuk ditanam di kawasan berkenaan memandangkan permintaan domestik dan luar negara khususnya dari negara China terhadap buah durian berkenaan amat tinggi.

“Kerajaan negeri juga dimohon mewujudkan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian atau “Collection Centre” di Agriculture Training Centre (ATC) Julau yang mana ianya akan berfungsi sebagai pusat hentian setempat untuk aktiviti pemasaran dan juga jual beli hasil-hasil pertanian dari kawasan Julau.

“Saya juga berharap agar Pusat Pegumpulan berkenaan nanti perlulah dilengkapkan dengan prasarana ICT bagi membolehkan para usahawan tani mengunapakai “Aplikasi Di Atas Talian” di dalam mempromosikan dan memasarkan produk mereka di samping mengunapakai “Aplikasi e- Wallet: Sarawak Pay,” katanya semalam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ketika turut serta dalam perbahasan atas bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan (2018)2017 dan Usul merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan bagi Perbelanjaan 2018 oleh Ketua Menteri Sarawak dan Menteri Kewangan pada 8 November 2017 yang lepas.

Dalam perbahasan tersebut juga, Rolland turut berharap agar pihak kementerian berkaitan membantu para penduduk di daerah Julau membangunkan industri khinzir bagi menampung pemintaan domestik yang sangat tinggi dan juga permintaan luar negara khususnya dari Singapura, Taiwan dan juga China.

Industri ternakan khinzir amat sesuai dilaksanakan di daerah Julau memandangkan hampir seratus peratus penduduk di sana adalah berbangsa Iban dan bukan beragama Islam.

Beliau turut berharap agar Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak mengadakan satu program khusus atau aktiviti tahunan seperti “Raft Safari” yang akan dapat membantu mempromosikan daerah Julau sebagai salah satu destinasi atau lokasi eko pelancongan di dalam Sarawak memandangkan daerah itu sangat kaya dengan warisan kebudayaan serta tarikan alam semula jadi yang menakjubkan seperti air terjun dan jeram-jeram yang unik dan amat sesuai untuk dijadikan tempat untuk aktiviti berakit.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.