13
Rab, Dis

Inisiatif Smart City Dan Industri 4.0 Bakal Meneraju Pembangunan Ekonomi Digital Di Sarawak

Sarawak
Typography

KUCHING – Bersempena dengan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke 13, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan RESONICS Consultancy telah menandatangani memorandum persefahaman kerjasama dalam membangunkan 'Smart City' dan 'Industry 4.0' di Sarawak.

Perjanjian memorandum persefahaman di antara UNIMAS dan RESONICS Consultancy telah disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengajian Tinggi Dato Sri Idris Jusoh dan Pengerusi WIFE Tun Musa Hitam di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK), di sini sebentar tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RESONICS Consultancy, inisiatif kerjasama Smart City dan Industry 4.0 ini adalah usaha berterusan di antara pemain industri dan universiti di Sarawak selari dengan aspirasi kerajaan dalam transformasi ekonomi digital dengan tujuan untuk mempercepatkan pelan pembangunan terutamanya melalui penggunaan aplikasi teknologi selain memperkukuhkan jaringan perkhidmatan jalur lebar di Sarawak amnya. 

Sementara itu, menurut Naib Cancelor UNIMAS Professor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, UNIMAS akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan penglibatan banyak pihak dalam pembangunan Smart City dan Industri 4.0.

"UNIMAS akan terus berusaha untuk meningkatkan penglibatan industri, masyarakat dan terutamanya rakyat Sarawak untuk kajian dan pombangunan dalam Smart City dan Industri 4.0 melalui kemudahan dan infrastruktur ICT yang akan dibangunkan di Sarawak.

"Kita telah mengenal pasti beberapa kluster di dalam inisiatif program transformasi ekonomi digital untuk kerjasama universiti industri terutamanya untuk Smart City dan Industri 4.0 termasuklah kajian dan pembangunan di dalam Smart Agriculture, Smart Manufacturing dan Smart Community khususnya untuk Sarawak,” ujarnya.

Selain MOU dengan UNIMAS, RESONICS Consultancy pada petang ini turut menandatangani dua lagi memorandum persefahaman dengan FinTech4Good LLC dan Umadx Online (Malaysia) Sdn Bhd yang mana RESONICS Consultancy bermatlamat untuk menjadikan Sarawak khususnya Kuching sebagai hab pembangunan teknologi dan keusahawanan di negara ini.