13
Rab, Dis

Pengerusi WIEF Lancar Kad Alumni WIEF Sempena Tahun Ke 13 Penganjurannya

Sarawak
Typography

KUCHING - Pengerusi  Forum Ekonomi Islam Dunia Ke 13 (WIEF-13) Tun Musa Hitam telah melancarkan kad alumni untuk 17,000 ahli alumni WIEF sempena 13 tahun penganjurannya.  

Menurut Musa, ia dapat menghubungkan 17,000 ahli alumni WIEF dari 150 negara sekali gus mengekalkan dan mengembangkan jalinan kerjasama yang lebih mudah. 

"Kad itu berfungsi untuk menghubungkan ahli dari pelbagai industri dan profesional seperti teknologi, kewangan Islam, logistik, pelancongan dan makanan halal dan lain-lain sektor baru untuk membolehkan kerjasama yang berterusan di luar forum.

Musa menjelaskan, dengan adanya kad alumni ini ia mampu mewujudkan komuniti pemimpin global dan pemikir yang terus membentuk perniagaan, negara dan komuniti ke masa hadapan.

"Ianya bertepatan dengan tema WIEF Ke 13 'Perubahan Gangguan: Kesan dan Cabaran' yang mana perubahan teknologi bertujuan untuk membawa peserta forum yang lepas dan sekarang untuk bersama-sama menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang-peluang yang terhasil daripada gelombang perubahan yang akan terus membentuk ekonomi dan politik," ujarnya semasa melancarkan kad alumni ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada petang ini.

Musa turut menyatakan pelancaran kad alumni ini akan mendekatkan perhubungan antara satu sama lain dengan negara luar hanya menggunakan teknologi terkini untuk berkomunikasi. 

"Kad Alumni WlEF adalah sumber inovasi dan peluang yang belum diterokai dengan mengumpulkan 17,000 ahli alumni dari 150 buah negara, kami boleh memanfaatkan organisasi dan industri yang mereka wakili, mata wang mereka dan sumbangan positif mereka.

"Ini merupakan rangkaian untuk ahli sentiasa bekerjasama dan potensi mencari hubungan baru antara industri untuk mencipta sesuatu yang baru.

"Saya berharap usaha sebegini terus mendapat sokongan daripada rakan-rakan WIEF dalam usaha kita memajukan dan mempersiapkan diri untuk menuju kejayaan," katanya. 

Sejak 13 tahun penganjurannya, forum ini telah menjalinkan kerjasama komersil bernilai lebih AS$155 bilion dan ia amat penting dalam mempercepat pertumbuhan kewangan Islam.

"Ia telah membawa pemimpin dunia dan  industri bersama di seluruh negara Islam dan bukan Islam untuk membuka peluang baru dalam industri makanan, logistik dan pelancongan," ujarnya.

Tambahnya lagi, Yayasan Ekonomi lslamik Dunia menganjurkan acara sepanjang tahun untuk menyokong pemimpin muda, usahawan wanita dan ruang permulaan yang lebih luas melalui Rangkaian Pemimpin Muda WIEF (WYN), WIEF Education Trust dan WlEF Businesswomen Network (WBN).

"Oleh itu, rangkaian alumni WlEF akan menyatukan peserta dari 13 edisi WlEF, ahli WYN dan WBN, serta mereka yang telah menjadi sebahagian daripada aktiviti sepanjang tahun Yayasan, yang termasuk Siri Meja Bulat WlEF.

"Rangkaian alumni WIEF adalah gaya dinamik untuk melabur melalui aktiviti dan perkhidmatan yang sesuai yang akan kami tambah dari masa ke masa, sebagai tindak balas terhadap perubahan persekitaran perniagaan dan ekonomi global," jelas Musa lagi.