14
Kha, Dis

Malaysia, Indonesia Sepakat Bebas Nelayan Yang Ditahan

Sarawak
Typography

KUCHING - Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Indonesia telah mencapai kata sepakat untuk membebaskan nelayan-nelayan yang ditahan oleh mana-mana satu negara atas sebab menceroboh perairan negara masing-masing.

Kesepakatan tersebut berjaya dicapai di antara Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Presiden Republik Indonesia Joko Widodo pada Majlis Perundingan Tahunan Ke 12 Malaysia-Indonesia yang diadakan di Kuching, semalam.

Dalam perundingan tersebut juga mereka memaklumkan yang pembebasan nelayan-nelayan tersebut akan dilakukan dengan segera agar mereka dapat meneruskan penghidupan di tanah air masing-masing.

"Kami prihatin bahawa mereka ini iaitu nelayan yang ditahan adalah orang miskin dan adalah tidak adil kita tutup mata pencarian mereka," kata Najib dalam satu sidang media khas bersama dengan Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi selepas tamatnya mesyuarat rundingan tersebut.

Ujar Najib lagi, rundingan pada kali ini dilihat telah mencapai kejayaan kerana banyak isu bersama yang telah dibincangkan dan beberapa kata sepakat turut berjaya dicapai di mana sekali gus memperlihatkan yang hubungan bilateral antara dua negara berada dalam keadaan sangat baik.

"Kita (Malaysia dan Indonesia) juga bersepakat dalam banyak isu termasuk isu politik, ekonomi, sosial dan kerjasama perbatasan dan kesediaan kedua-dua pemerintah negara untuk menyelesaikan isu-isu terbabit dan akan membuka banyak peluang bagi rakyat kedua-dua negara.

"Manakala, tumpuan pada rundingan kami kali ini adalah mengenai isu penyekatan pembelian minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia oleh Kesatuan Eropah.

"Malaysia dan Indonesia juga bersependapat yang tindakan tersebut tidak adil dan tidak patut diteruskan kerana ia akan menyebabkan kira-kira 600,000 rakyat Malaysia dan 13.5 juta rakyat Indonesia terjejas punca rezeki," tambahnya.

Kata Najib lagi, sebelum ini, negara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Papua New Guinea selaku negara pengeluar sawit dilaporkan akan bekerjasama untuk menentang diskriminasi sekatan eksport minyak sawit ke negara Kesatuan Eropah (EU).

Kesemua negara pengeluar kelapa sawit kata Najib lagi perlu mempunyai pendirian yang sama bagi mengatasi masalah tersebut terutama dengan menolak persepsi negatif bahawa penanaman kelapa sawit memusnahkan hutan seperti yang pernah dilemparkan oleh Ahli Parlimen Eropah (MEP).

"Satu perjumpaan yang dilakukan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah diadakan bersama kepimpinan Parlimen Eropah, Pesuruhjaya EU dan Ahli Parlimen EU (MEP) bagi membincangkan isu berkenaan.

"Kerajaan dari kedua-dua negara juga akan menghantar wakil ke Kesatuan Eropah untuk membantah tindakan tersebut," katanya.

Selain itu, kedua- dua negara juga telah bersepakat memperluaskan kerjasama maritim sambil dan Najib turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Indonesia kerana berjaya mengurangkan masalah jerebu lintas sempadan.

Terdahulu, sebelum sidang media diadakan Jokowi dan Najib telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi Islam yang diwakili oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Luar Negeri Republik Indonesia, Retno L.P Marsudi di Rundingan Tahunan Ke 12 Malaysia-Indonesia di tempat yang sama selepas mereka menghadiri Mesyuarat Terhad selama lebih sejam yang bermula sekitar jam 10.30 pagi.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri beberapa menteri dari kedua-dua negara antaranya menteri dari Malaysia yang hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Rundingan tersebut yang juga diadakan secara kebetulan dengan sambutan ulang tahun Ke 60 hubungan diplomatik antara Malaysia-Indonesia itu juga dilihat telah membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk membincang dan menyelesaikan beberapa perkara bertujuan meningkatkan lagi hubungan yang terjalin.