13
Rab, Dis

Ekonomi Sarawak Dijangka Berkembang 4 Peratus Pada Tahun 2017 Berikutan Perkembangan Dalam Ekonomi Dunia

Sarawak
Typography

KUCHING – Ekonomi Sarawak dijangka berkembang pada 4 peratus pada tahun ini berpandukan pada peningkatan perkembangan di ekonomi dunia.

Mengikut Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ekonomi Sarawak berkembang sebanyak RM121.4 bilion yang mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita pula ada sebanyak RM44,300.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak juga telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM7.8 bilion.

“Bagi 9 bulan pertama bagi tahun 2017, Sarawak telah berjaya menarik jumlah pelaburan sebanyak RM7.8 bilion.

“Ianya tidak termasuk cadangan projek keluli sebanyak RM12.6 bilion dan Projek Metanol bernilai RM8.4 bilion yang ada di Bintulu dan pencapaian ini bukan secara kebetulan tetapi hasil daripada kepimpinan yang kuat, perancangan yang baik dan pelaksanaan yang berkesan oleh Kerajaan Negeri Sarawak yang ada,” katanya dalam ucapan pembukaan sesi khas bagi “Sarawak Fokus” bersempena dengan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke 13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pagi ini.

Katanya, Sarawak mengharapkan agar lebih banyak pelaburan untuk datang ke Sarawak di masa depan.

Sementara itu, Awang Tengah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) adalah salah satu daripada lima koridor pembangunan ekonomi yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada Februari 2008 yang lepas.

Inisiatif SCORE adalah untuk memanfaatkan potensi hidropower yang luas untuk merangsang pembangunan ekonomi negara dan juga negeri ini secara amnya.

“SCORE merangkumi kawasan tengah di mana ianya yang merangkumi kawasan dari Samalaju di Bintulu ke Tanjung Manis di Mukah. 

“Kawasan SCORE kini telah diperluas merangkumi kawasan Rajang dan kawasan tanah tinggi serta kawasan utara Sarawak di mana antara empangan hidroelektrik yang telah di bina setakat ini adalah Empangan Bakun (2,400 Mw) yang menelan kos RM7.8 bilion, Empangan Murum (944 MW) dengan kos RM4.1 bilion dan juga Empangan Baleh (1,285 Mw) yang pada masa kini sedang dalam pembinaan dan perlu siap pada tahun 2025 dengan anggaran kos RM8.0 bilion,” tambahnya lagi.

Beliau turut memaklumkan yang Sarawak harus berbangga kerana dikurniakan banyak sungai besar yang mana ianya dapat  menjana  banyak potensi hidro yang boleh diperbaharui. 

Dan, sekiranya dibangunkan sepenuhnya, mereka akan dapat menjanakan kira-kira 8,000 mw elektrik dan Sarawak berhasrat untuk membangunkannya bergantung kepada permintaan tenaga yang akan datang.