14
Kha, Dis

Pengasas Apple Bersedia Bantu Promosikan Sarawak

Sarawak
Typography

KUCHING - Pengasas bersama syarikat Apple Steve Wozniak bersedia untuk mempromosikan Sarawak pada acara yang akan disertainya.

Beliau tertarik kepada Sarawak kerana banyak perkara yang masih perlu diterokai dan dipromosikan kepada masyarakat dunia.

“Ya, saya boleh mempromosikan Sarawak, tetapi saya tidak berpeluang untuk menerokai lebih banyak perkara yang menarik di sini. 

“Saya seorang penceramah awam, jadi tidak menjadi masalah untuk saya berkongsi perkara tentang Sarawak kepada masyarakat dunia pada setiap acara yang akan saya sertai kelak,” katanya semasa menjawab soalan pemberita mengenai usahanya yang boleh membantu Sarawak ke arah pembangunan ekonomi digital pada sidang media sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media itu Pengerusi Yayasan WIEF Tun Musa Hitam. 

Sebelum itu, Wozniak dalam sesi forum memberitahu pada masa akan datang semua pembayaran akan menggunakan telefon pintar sahaja. 

Alat ini (telefon pintar) hampir semua orang memilikinya dan seterusnya boleh menjadi kunci kereta, rumah dan semuanya menerusi pembangunan aplikasi.

Bercakap kepada media, beliau turut berkata, institusi pengajian tinggi perlu mula melahirkan jurutera dalam bidang digital pembangunan mata wang siber yang menjadi platform dalam ekonomi digital global.

"‘Blockchain’ dan ‘bitcoins’ merupakan antara mata wang siber yang popular sekarang selain pembangunan kepintaran buatan (artificial intelligence) yang semakin maju. 

“Ini seterusnya akan berkembang kepada produk-produk inovasi baharu seperti kenderaan elektrik pintar yang memandu sendiri yang sedang rancak dibangunkan pelbagai negara sekarang,” jelasnya. 

Wozniak juga menjangkakan ekonomi masa depan akan berubah kepada kepenggunaan teknologi digital biarpun teknologi ini masih rendah ekoran harga yang tinggi namun yakin ia akan menjadi mampu milik selepas dihasilkan secara banyak dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

 

Seperti Apple katanya, mereka mula mengasah jurutera digital baharu yang berani mengambil risiko untuk mewujudkan sesuatu daripada minat dan imiginasi.