14
Kha, Dis

SEB Tambah Peruntukan Pendidikan Tahunan Sebanyak RM8 Juta

Sarawak
Typography

KUCHING – Ketua Eksekutif Sarawak Energy Sharbini Suhaili Sarawak Enegry Berhad (SEB) telah menyampaikan 99 biasiswa dan mengumumkan penambahan peruntukan pendidikan tahunannya sebanyak RM8 juta bagi tahun depan pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa 2017 yang berlangsung di sini, pagi tadi.

Penambahan peruntukan ini adalah sebahagian usaha berterusan SEB untuk mengembangkan bakat anak-anak Sarawak dalam melanjutkan pelajaran dan membina tenaga kerja yang cekap. 

Daripada jumlah itu, 85 orang terdiri daripada anak-anak muda Sarawak yang diterima melanjutkan pengajian mereka di pelbagai institusi pengajian tinggi manakala selebihnya adalah kakitangan SEB yang meneruskan pendidikan mereka.

“Kami memberikan biasiswa ini kepada pelajar yang layak untuk melanjutkan pengajian mereka kerana pelaburan sosial dalam pendidikan adalah pelaburan yang terbaik untuk masa depan Sarawak. 

“Melalui biasiswa ini, kami mensasarkan masa depan yang lebih cerah kepada pelajar-pelajar muda dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi dan malah kami percaya lebih ramai lagi anak-anak muda yang ingin melanjutkan pelajaran jadi kami meningkatkan peruntukkan kepada RM8 juta pada tahun hadapan berbanding RM5 juta sebelum ini,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penyerahan Biasiswa di Bangunan SEB di Kuching.

Sharbini juga menyatakan peningkatan peruntukan ini merupakan komitmen SEB ke arah memperluaskan bakat anak-anak muda Sarawak yang mahir dan cekap serta berpotensi untuk memenuhi keperluan tenaga kerja pada masa depan.

“Program ini sekali gus dapat meningkatkan kebolehan SEB  untuk menarik perhatian dan membina bakat dalam organisasi untuk mencapai cita-cita mereka.

“Ianya juga dapat merealisasikan cita-cita kami menjadi kuasa besar serantau dan majikan pilihan, selain  perlu mencari tenaga kerja yang mahir  bagi meningkatkan tenaga kerja berpasukan yang terbaik yang boleh bekerjasama untuk bersaing di rantau ini,” kata Sharbini.

Di samping program biasiswa, penempatan latihan dan aktiviti duta kampus adalah antara inisiatif SEB  untuk menarik dan melatih bakat muda yang terbaik. 

 

Sejak pengenalannya pada tahun 2014, seramai 314 pelajar telah mendapat manfaat daripada program biasiswa ini dan juga biasiswa diberikan kepada pekerja SEB untuk latihan kecekapan sebagai sebahagian daripada cadangan nilai pekerja SEB dan seramai 14 orang pekerja SEB menerima biasiswa pada hari ini.