14
Kha, Dis

Tindakan Pandikar Amin Mahu Berdebat Dengan Ketua Menteri Sarawak Bercanggah Dengan Persetujuan Perdana Menteri

Sarawak
Typography

KUCHING - Tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mahu berdebat dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Johari Tun Datuk Abang Openg mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah bercanggah dengan persetujuan Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri bersetuju bahawa hak serta kepentingan Sarawak dan Sabah yang terhakis sebelum ini akan diberi balik kepada kedua-dua negeri berdasarkan kepada MA63. 

"Pandikar merupakan pemimpin dari Sabah. Kita tahu bahawa Sabah juga mahu menuntut hak mereka di bawah MA63 seperti mana Sarawak tetapi, Pandikar bercanggah dengan kemahuan orang Sabah dalam perkara itu. 

"Ia juga bercanggah dengan persetujuan Perdana Menteri yang sebelum ini telah berkali-kali menyatakan kesediaan untuk mengembalikan hak serta kepentingan Sarawak dan Sabah yang terhakis sama ada sengaja atau tidak," katanya semasa berucap merasmikan Majlis Penangguhan Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan dan Gedong di sini, malam tadi. 

Awang Tengah yang juga Pemangku Timbalan Presiden PBB berkata, apa yang mahu dilakukan Pandikar, biarlah orang Sabah yang menentukan perkara itu. 

Namun, bagi Sarawak hak dan kepentingan yang terhakis sebelum ini telah pun dipersetujui Perdana Menteri untuk dirunding di antara pemimpin negeri dan pemimpin Persekutuan yang akan menentukannya.

"Kita akan terus memberi sokongan kuat kepada Ketua Menteri kita untuk memperjuangkan perkara ini. Ini kerana kita telah menemui banyak bukti semasa lawatan kita ke London terutama mengenai hak Sarawak. 

"Saya sendiri telah mengikuti rombongan ke London bersama Ketua Menteri dan berkesempatan meneliti fail dan ada bukti yang cukup serta jelas untuk Sarawak," tegasnya. 

Tambah Awang Tengah lagi, kedudukan Ketua Menteri Sarawak yang juga merupakan anak kepada Gabenor Sarawak pertama, Allahyarham Tun Abang Openg Abang Sapi'ee, iaitu antara individu yang menandatangani MA63 menjadi keyakinan rakyat kepada beliau untuk memperjuangkan hak Sarawak. 

 

"Maka itu kita bersama semua rakyat Sarawak akan terus memberi sokongan kepada beliau mendapatkan hak serta kepentingan kita semula," katanya.