26
Sab, Mei

Bunuh Anak Teman Wanita Angkara Perselisihan Faham

Sarawak
Typography

MIRI - Mayat seorang kanak-kanak berusia 13 tahun telah dijumpai di dalam bonet sebuah kereta di Jalan Miri Port, di sini, petang semalam.

Menurut jurucakap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Miri, anggota polis yang melakukan rondaan di Jalan Miri Port Kuala Baram telah ternampak sebuah kereta jenis Proton Iswara Aerobik berwarna perak dalam keadaan yang mencurigakan dan pemiliknya telah melarikan diri, tetapi berjaya ditangkap.

"Selepas didapati kenderaan itu mencurigakan, polis segera membuat pemeriksaan dan seorang lelaki telah bertindak melarikan diri dengan menaiki kereta. Begitupun, suspek yang dikenali Yap Kak Min, 33 tahun berjaya ditahan di Jalan Miri Port. 

"Hasil pemeriksaan dapati terdapat seorang kanak-kanak perempuan Cina berpakaian sekolah dalam keadaan tidak sedarkan diri berada di dalam bonet belakang kenderaan tersebut. 

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pihak ambulans mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Polis yang berjaya menahan suspek telah menyoal siasat suspek dan didapati suspek telah mencekik mangsa di sebuah rumah di kawasan Permyjaya.

Difahamkan mangsa merupakan anak kepada teman wanita suspek.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas mayat tersebut, mangsa merupakan pelajar tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau.