21
Ahd, Jan

Lantik Tun Dr Mahathir Sebagai Perdana Menteri Disifatkan Sebagai 'Sarkas Politik'

Sarawak
Typography

KUCHING - Pemilihan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) akan datang disifatkan sebagai 'sarkas politik'.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata, dahulunya pembangkang yang terdiri dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggelarkan Tun Dr. Mahathir sebagai pemimpin korup, tidak berperikemanusiaan, mahazalim dan kejam dalam sejarah politik negara, tetapi kini telah dinamakan sebagai Perdana Menteri untuk PH.

Berikutan pengumuman itu, ramai di kalangan pemimpin PKR dan Amanah juga DAP secara terbuka menunjukkan rasa ketidakpuasan hati mereka.

"Saya tidak menjangka PH akan membuat sarkas politik dengan mengumumkan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM) yang telah bersara dan berusia 91 tahun sebagai pemimpin masa depan jika PH mengambil alih sebagai Kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau mengulas pengumuman PH yang meletakkan Tun Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri PH jika menang pada PRU14 pada Konvensyen PH di Shah Alam, Selangor pada Ahad lepas.

Abdullah yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) turut mempertikaikan kebolehan pemimpin gabungan PH untuk memimpin negara di mana mereka bukan sahaja tidak pernah setuju dalam hal secara bersama, tetapi juga mempunyai visi dan misi yang berbeza dalam menawan Malaysia pada pilihan raya akan datang.

Lebih memburukkan keadaan PH apabila ahli-ahli parti BERSATU yang dipengerusinya juga melahirkan ketidakpuasan secara terbuka terhadap Mesyuarat Agung Tahunan pertama mereka, yang didakwa sebagai tidak teratur dan melanggar perlembagaan PPBM sendiri sehingga ada yang meminta ROS mengkaji semula kewujudan parti itu.

“Mereka juga tidak dapat menguruskan sendiri untuk sekurang-kurangnya memberi kita gambaran meyakinkan bahawa mereka boleh dipercayai dan saling bersatu, tetapi mereka bermimpi untuk menguruskan nasib dan masa depan negara” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha membangunkan negara, kawasan luar bandar seperti di kawasannya, hanya boleh dikecapi menerusi kerajaan yang bertanggungjawab serta stabil, selain perpaduan dan keamanan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, kerajaan yang dimahukan adalah yang mempunyai semangat ikhlas serta tidak memandang ringan keperluan di luar bandar.

“Mana-mana orang yang munasabah mesti gila untuk mempercayai bahawa PH akan membawa harapan dan perubahan dalam kawasan luar bandar dengan kepimpinan egosentrik dan lemah yang diperkenalkan oleh PH,” katanya sambil menambah, PH merangkumi pemimpin yang dikenali atas ketaksuban dan berbaur perkauman.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, misi politik PH hanya satu, iaitu untuk menyerang dan merosakkan kerajaan semasa, dengan halusinasi jahat serta melempar tuduhan tidak bertanggungjawab bahawa negara memerlukan ‘Pakatan Harapan’ untuk menyelamatkan nasib dan masa depan negara.

“Ahli mereka sendiri di PH memperlihatkan keraguan dengan falsafah dan arah politik mereka sendiri.

“Saya hanya dapat menyimpulkan PH ini pada dasarnya adalah Coalition of Hopeless (Pakatan Tiada Harapan),” katanya.