20
Jum, Jul

30,000 Tenaga Buruh Dari Kemboja Akan Dibawa Masuk Bantu Sektor Perladangan Kelapa Sawit Di Sarawak

Sarawak
Typography

SERIAN – Menteri Sumber Manusia, Dato' Sri Richard Riot Jaem menyatakan tenaga kerja buruh dari luar negara amatlah diperlukan bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan kelapa sawit di Sarawak.

Menurut beliau ladang-ladang di Sarawak sahaja memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 orang pekerja untuk mengutip buah-buah kelapa sawit.

“Kita sekarang memerlukan lebih kurang 30,000 pekerja asing dan saya sedang mengusahakan pekerja dari Kemboja untuk dibawa masuk ke Sarawak bagi memenuhi tenaga buruh dalam sektor perladangan kelapa sawit kerana kita boleh mengalami kerugian sehingga RM2 billion setahun  disebabkan buruk dan jadi bahan buangan.

"Saya akan ke Kemboja untuk kali ketiga pada pertengahan bulan ini untuk membincangkan perkara ini,” jelasnya ketika ditemui selepas merasmikan Program Bicara Ilmu "Perladangan Sawit: Peluang Dan Cabaran Semasa Dan Program Lestari Modal Insan Koperasi" di sini, semalam.

Beliau juga menyatakan bahawa penurunan pengambilan pekerja asing yang kebanyakannya daripada Indonesia iaitu dari 2.1 juta pada tahun 2015 kepada 1.7 juta tahun lepas. 

Richard Riot yang juga Ahli Parlimen Serian berkata penurunan jumlah pekerja asing dari Indonesia disebabkan oleh gaji upah yang diberikan lebih kurang sama dengan upah di negara mereka dan sekiranya negeri kita tidak menaikkan upah maka negeri akan berhadapan dengan kekurangan pekerja-pekerja di ladang di masa hadapan.

Terdahulu dalam ucapan beliau turut berharap penglibatan penduduk setempat dalam koperasi ditingkatkan kerana ia dapat menjanakan ekonomi setempat.

Dalam pada itu, Richard Riot turut menyerahkan dua buah kerusi roda kepada wakil Pengarah Hospital Serian Puan Zuraidah untuk digunakan pesakit di Hospital Bahagian Serian.