19
Kha, Jul

11 Januari Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem Dalam Kenangan

Sarawak
Typography

KUCHING - Detik jam 12.01 malam, ramai di kalangan netizen khususnya dari Sarawak mengambil peluang mengungkapkan al-fatihah dan menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang mana hari ini genap setahun allahyarham meninggal dunia.

Allahyarham bukan sahaja mengejutkan bumi Kenyalang, tetapi juga seluruh dunia merasai kehilangannya biarpun beliau hanya sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Detik 1.30 petang, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem menghembuskan nafas terakhir pada usia 72 tahun akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan.

Kehilangannya amat dirasai rakyat Sarawak yang begitu menghormati dan sayang kepada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Ramai menganggap kehilangannya telah menyebabkan Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang disayangi rakyat termasuk pembangkang di mana setiap dasar dan polisinya cukup disenangi rakyat.

Mana tidaknya, selang beberapa bulan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem mengambilalih jawatan Ketua Menteri Sarawak, beliau telah menghulurkan bantuan RM1 juta kepada Ahli Parlimen Sibu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek mendiang Wong Ho Leng untuk menampung kos rawatan barah otak. 

Ini susulan daripada keengganan DAP Sarawak dan Pusat membantu mendiang Wong Hong Leng membiayai perbelanjaan perubatannya di Hospital Queen Elizabeth di Singapura.

Beberapa tindakan awal Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem seperti menurunkan tarif elektrik untuk keperluan domestik dan industri, memansuhkan cukai tanah bagi pertanian dan kediaman, menurunkan cukai taksiran, dan menyekat pemimpin politik dari Semenanjung yang dapat menjejaskan hubungan harmoni antara kaum di Sarawak. 

Gambaran ini jelas menunjukkan perbezaan fahaman politik tidak menjejaskan sifat kemanusiaan yang ditunjukkan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Pengenalan kepada 53 dasar dan tindakan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem sepanjang beliau mentadbir Sarawak sebagai Ketua Menteri benar-benar membuatkan rakyat Sarawak merasai kehilangannya. 

Dasar dan tindakan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dalam menghapuskan tol di 3 jambatan di Jambatan Tun Ahmad Sallehuddin, Jambatan Lanang dan Jambatan ASEAN menyebabkan orang mengatakan Tok Nan 'cakap serupa bikin'.

Tidak cukup dengan itu, penurunan kuasa pentadbiran yang dilaksanakan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem bersama Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak telah membuahkan kejayaan apabila fasa 1 telah berjaya ditandatangani secara bersama dan kini memasuki fasa kedua di mana ia melibatkan undang-undang dan Perlembagaan.

Dari segi pendidikan, hasrat Sarawak menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam pendidikan dan perkhidmatan awam juga disambut baik sejajar dengan matlamat dan keperluan semasa dalam dunia globalisasi tanpa sempadan.

Begitupun, Bahasa Melayu tetap digunakan selari dengan dasar pendidikan.

Ramai pihak yang memandang sepi hasrat Sarawak memperoleh 20 peratus royalti minyak, tetapi ramai juga yang tidak tahu bahawa usaha Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem telah membawa Petronas 'melabur' berjuta-juta ringgit dalam beberapa bidang seperti pendidikan, pembinaan, sukan dan sebagainya.

Begitu juga dengan istilah Melayu, Cina, India dan lain-lain yang digunakan dalam borang, kini telah dimansuhkan dan hanya Bumiputera Sarawak kini boleh meletakkan nama kaum masing-masing dalam semua dokumen dan borang rasmi kerajaan.

Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang dijangka siap tahun 2023 juga mengingatkan rakyat Sarawak kepada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Siapnya nanti, akan membolehkan rakyat Sarawak hanya mengambil masa singkat dari Kuching ke Miri tanpa perlu sakit belakang lagi.

Setiap kali ucapan beliau selalu dipanggil 'Apai Besai' oleh Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak sesuatu yang jarang ditemui.

Pembekuan pengeluaran lesen balak dan ladang hutang kelapa sawit yang diambil segera Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem bertujuan memelihara hutan di Sarawak. 

 

Tarikh 22 Julai yang dahulunya hanya sekadar tarikh dan peristiwa, tetapi kini dianggap sebagai tarikh penting dalam kemerdekaan Sarawak dan membolehkan rakyat Sarawak menikmati cuti peristiwa.