19
Kha, Jul

Polis Daerah Kuching Rampas Dadah Bernilai RM194,976

Sarawak
Typography

KUCHING - Polis Daerah Kuching berjaya merampas dadah yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM194, 976 dengan menahan seorang lelaki cina di dalam kereta di tempat letak kereta apartment di Jalan Usaha, Muara Tabuan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Haji Abang Ahmad bin Haji Abang Julai berkata ia adalah rampasan dadah pertama pada tahun ini di Kuching.

Jelasnya lagi, bertindak atas maklumat awam yang diterima, suspek yang ditahan dengan sendirinya telah menyerah satu plastik hitam yang mengandungi dadah yang disyaki syabu, berat bersih 2.10 gram dan di dalam beg galas suspek turut dijumpai 100 biji pil erimin 5, berat kasar 27.66 gram.

“Suspek turut mengaku ada menyimpan dadah di dalam rumahnya di apartment tempat beliau ditahan dan pemeriksaan lanjut oleh pasukan polis di dalam rumah telah menjumpai satu beg kertas di atas lantai di dalam bilik ketiga yang mengandungi 163 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki syabu berat kasar 611.79 gram, 140 biji pil disyaki dadah jenis ecstacy berat kasar dan 650 biji pil jenis erimin 5 berat kasar 180.63,” jelasnya pada sidang media berhubung dengan tangkapan dan rampasan dadah di Ibu Pejabat IPD Kuching hari ini.

Menurut Abang Ahmad juga, pasukan JSJN turut menahan seorang perempuan yang berada di dalam rumah tersebut ketika serbuan.

“Keputusan ujian saringan awal polis mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala subjek perempuan bebas dari sebarang dadah dan kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan mendapati suspek lelaki berasal dari Kuching manakala saspek perempuan seorang warganegara Indonesia dan siasatan awal mendapati kedua-dua saspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM2,000 dan sebuah kereta iaitu Toyota Vios berwarna putih," katanya lagi.

Beliau berkata, pihaknya percaya bekalan dadah itu untuk diedarkan dalam pasaran tempatan di mana pembeli memasukkan wang melalui bank dan barang dihantar kepada pembeli di suatu tempat.