17
Rab, Okt

BN Sarawak Perlukan Calon Yang Boleh Bawa Transformasi Dan Idea Baru

Sarawak
Typography

KUCHING - Atas nama transformasi dan idea baru, calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) akan datang memerlukan pembaharuan sejajar dengan polisi dan dasar yang dibawa Kerajaan Negeri Sarawak ketika ini iaitu, Ekonomi Digital.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, BN Sarawak memerlukan muka baru sejajar dengan proses transformasi yang dilaksanakan ketika ini. 

"Kita perlu kepada muka baharu kerana kita berada dalam proses transformasi,” katanya dalam satu temubual khas bersama sebuah portal atas talian tempatan sarawakvoice.com sempena setahun sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Beliau tidak menolak kemungkinan BN Sarawak akan mengemukakan beberapa calon baru yang akan bertanding pada PRU14 akan datang.

Abang Zohari yang juga Pengerusi BN Sarawak turut menjelaskan, faktor umur, prestasi dan analisis dari pelbagai agensi akan turut diambil kira dalam menentukan calon yang mewakili BN Sarawak.

Tidak seperti sebelumnya, BN kini sangat berhati-hati dalam menentukan calon dalam memastikan BN menang dengan majoriti dua pertiga.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Razak pernah menyuarakan calon-calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya sama ada muka lama atau muka baharu akan melalui kriteria pemilihan yang ketat seperti tidak muflis, tidak terlibat rasuah, tidak terbabit dalam jenayah dan apa-apa jua syarat yang boleh menyebabkan calon itu disingkirkan daripada calon BN.

Turut penting ialah umur yang mana ia menjadi salah satu faktor penentu dalam menentukan kepimpinan bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Umur juga perlu diambil kira kerana kita mahu calon tersebut mampu mendokong apa yang kita gagaskan hari ini," tambahnya lagi.

Menyentuh mengenai calon-calon BN Sarawak bagi PRU14, Abang Zohari menjelaskan senarai nama calon sudah ada tetapi, terpaksa menunggu saat akhir kerana sesuatu boleh berlaku pada waktu itu.

"Senarai nama calon BN Sarawak sudah ada, tetapi hanya akan diumumkan pada tarikh yang sesuai. 

"Berdasarkan pengalaman, sesuatu boleh berubah pada 'saat-saat akhir'," ujarnya yang masih belum bersedia mengumumkan calon-calon BN dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, Abang Zohari yakin BN Sarawak mampu mencapai kemenangan dalam PRU14 akan datang.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, termasuk laporan pelbagai pihak, kita akan dapat merampas sekurang-kurangnya dua ke tiga kerusi,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai formula bagi menangani krisis Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), beliau mengakui telah 'memiliki formulanya'.

“Saya tidak terlalu yakin, tetapi akan cuba. Kita akan lakukan campuran komponen dan sebatian untuk menghasilkan tindak balas kimia yang betul.

“Pada tahun 2018…dari sudut politik, kita mahu kemenangan yang bergaya,” ujarnya lagi.

Selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, PRU14 ini merupakan cabaran kedua kepada Abang Zohari sebagai Pengerusi BN Sarawak selepas mengambilalih daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

BN Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen, dengan 25 daripadanya milik BN, 5 milik Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan satu dimiliki Parti Keadilan Rakyat (PKR).