22
Jum, Jun

Abang Zohari Mempengerusikan Mesyuarat BN Sarawak Hari Ini

Sarawak
Typography

KUCHING - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi BN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, pagi tadi.

Kehadiran Abang Zohari pada jam 9.50 pagi telah disambut Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Seri Stephen Rundi anak Utom.

Turut hadir, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Prof Datuk Dr. Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr. James Jemut Masing dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing.

Turut sama hadir Pemangku Timbalan Pengerusi PBB Sarawak datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Juga kelihatan, Ketua Wanita BN Sarawak Puan Sri Empiang Jabu dan Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof.

Bagaimanapun, tiada kelibat Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Seri Wong Soon Koh di dalam mesyuarat itu.

Mesyuarat di sini membincangkan mengenai persiapan BN Sarawak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Difahamkan, mesyuarat juga membincangkan formula terbaik bagi menyelesaikan krisis SUPP dan UPP seperti mana yang diarahkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak pada penutupan Mesyuarat Perwakilan SUPP 2018 baru-baru ini.

Turut dibincangkan ialah arahan-arahan terbaru yang dibincangkan BN Pusat selepas mesyuarat pada 3 Januari lepas.