14
Jum, Dis

Jawatankuasa Khas Dan Jawatankuasa Teknikal Berkaitan MA63 Ditubuhkan

Sarawak
Typography

KUCHING – Satu jawatankuasa khas dan jawatankuasa teknikal berkenaan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan ditubuhkan bagi menyelesaikan segera isu tersebut.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata, buat masa ini tiga orang Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri James Jemut Masing dan juga Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan akan menganggotai jawatankuasa khas berkenaan.

“Kita (kerajaan negeri) mempunyai pendekatan sendiri untuk menyelesaikan isu berkaitan MA63 ini dan kita amat berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas maklum balas beliau terhadap perkara ini dan bersikap terbuka tentang isu tersebut.

“Jawatankuasa khas ini nanti akan berbincang mengenai isu-isu am yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia atau MA63 manakala, jawatankuasa teknikal pula akan membincangkan mengenai isu yang lebih rumit,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi BN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jalan Bako di sini, pagi tadi.

Turut hadir bersama pada mesyuarat yang diadakan kira-kira jam itu ialah Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Proffesor Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing serta Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Ketua Pergerakan Pemuda BN Sarawak dan juga Puan Sri Empiang Jabu selaku Ketua Pergerakan Wanita BN. 

Justeru itu katanya lagi, perbincangan lanjut mengenai MA63 akan dibuat berdasarkan kepada dokumen dan fakta yang ada dan bukannya atas dasar emosi semata-mata.

“Perbincangan ini adalah berdasarkan kepada jawatankuasa antara kerajaan (IGC) yang asal yang sepatutnya dikaji semula 10 tahun selepas kemerdekaan tetapi tidak dibuat kerana pengerusinya ketika itu iaitu Tun Ismail Abdul Rahman telah meninggal dunia. 

“Jadi, apa yang kita mahu buat sekarang ini berbincang berdasarkan perimeter sebelum ini dan dalam beberapa bulan ini jawatankuasa teknikal yang diketuai Peguam Negeri akan duduk berbincang mengenai perkara ini,” ujarnya.

Menyentuh mengenai rundingan berkaitan penurunan kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, Abang Zohari memaklumkan yang rundingan tersebut telah memasuki fasa kedua dan ianya telah berjalan dengan lancar.

“Fasa kedua rundingan ini lebih berkisar kepada soal-soal pentadbiran dan juga hak-hak perlembagaan Sarawak berdasarkan dengan fakta dan juga dokumen,” tambahnya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.