20
Rab, Jun

Mendiang Tan Sri Celestine Ujang Jilan Pemimpin Yang Cekal - Zahid Hamidi

Sarawak
Typography

KUCHING - "Beliau seorang pemimpin yang cekal" itulah gambaran yang diberikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap Mendiang Tan Sri Celestine Ujang Jilan yang meninggal dunia pada Rabu lepas.

Kata Ahmad Zahid lagi, sebagai pemimpin, mendiang banyak menghabiskan usia muda untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat tanpa mengira masa.

Selain itu, mendiang Celestine juga merupakan seorang pemimpin yang begitu cemerlang ketika bersama kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Hubungan antara Ahmad Zahid dan mendiang Celestine 71 telah bermula sejak 1987 ketika masing-masing mengetuai Sayap Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan PBB.

"Saya kehilangan sahabat karib yang dianggap sebagai keluarga dan saya akan meneruskan hubungan kekeluargaan ini.

"Mendiang juga sudah mencurahkan bakti sejak usia muda dan sikap itu perlu dicontohi pemimpin-pemimpin muda lain," katanya ketika ditemui selepas menziarahi mendiang Celestine Ujang di kediamannya di Jalan Urat Mata di sini sebentar tadi.

Ahmad Zahid tiba di kediaman mendiang sekitar jam 8 malam telah meluangkan masa kira-kira 20 minit dan bertemu dengan isteri mendiang Puan Sri Elizabeth Lawa dan juga Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexender Nanta Linggi yang juga merupakan menantu kepada Celestine Ujang.

Hadir sama pada kunjungan tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Tan Sri Celestine Ujang Jilan yang merupakan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu telah disahkan meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ di Kuching jam 7.48 malam, Rabu lalu.

Terdahulu, mendiang dilaporkan telah terjatuh selepas menjalani rawatan dialisis di rumahnya sebelum dikejarkan ke hospital.

Sepanjang penglibatan mendiang dalam politik, mendiang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena dan pernah memegang beberapa portfolio antaranya Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Menteri Perumahan selain pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak mulai 1981 hingga 1987sebelum bersara pada 2001.