20
Sab, Okt

Pemimpin PBB Cawangan dan Ranting, Pejuang Utama Parti - Abdul Rahman

Sarawak
Typography

KUCHING - Pemimpin di peringkat ranting dan cawangan adalah barisan utama dalam menjalankan tanggungjawab kepada parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Elektrik) Dr. Haji Abdul Rahman Junaidi berkata, sebagai pemimpin kita harus mempersiapkan diri kita dengan segala pengetahuan termasuk data-data kawasan, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14).

"Pada PRU13 yang lepas, kita mengadakan pelbagai program dengan menggunakan pendekatan agar semua berada di dalam keadaan bersiap siaga pilihan raya umum," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Perhimpunan Pemimpin PBB Cawangan Pantai Damai di sebuah hotel di sini petang tadi.

Turut hadir pada majlis  tersebut adalah Timbalan Pengerusi PBB Pantai Damai Drahman Jeladin, Ketua Wanita PBB Pantai Damai Jamaiyah Sulaiman, Ketua Pemuda PBB Pantai Damai Sebeki Jen dan ahli-ahli jawatankuasa PBB Pantai Damai.

Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai mahu setiap ahli-ahli PBB Pantai Damai mempersiapkan diri dengan berkongsi maklumat selain tahu peranan masing-masing apabila pilihan raya diadakan.

"Kita haruslah menyediakan diri dalam menghadapi PRU14 di mana kita berkongsi maklumat agar bila tiba PRU14 nanti, kita tahu apa tugasan masing-masing.

"Kita juga harus mengkemaskini data-data berkaitan keahlian PBB dan bilangan pengundi di kawasan kita bagi memudahkan peranan kita ketika berkempen.

"Ketika ini, PBB Pantai Damai mempunyai bilangan pengundi setakat suku tahun 2017 adalah seramai 19,520 orang dan 41 Ranting PBB yang dibahagi kepada tiga zon," katanya lagi.

Dalam daftar pemilihan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai mempunyai pengundi paling ramai dalam Parlimen Santubong (keseluruhan lebih kurang 45,000 pengundi) berbanding DUN Tanjung Dato dan Demak Laut.

"Pada tahun 2016, DUN Pantai Damai mempunyai paling ramai ahli PBB dan dalam usaha meraih ahli PBB baru, sayap Pemuda PBB akan mengadakan beberapa program bagi mencapai matlamat ini, terutamanya, menarik ahli-ahli baru yang mencecah 18 tahun," ujarnya.

Abdul Rahman juga memberitahu, PBB Pantai Damai telah merancang untuk menambah sekurang-kurangnya 2,000 orang ahli baru dalam masa dua tahun agar kita boleh mencapai bilangan ahli sama dengan bilangan pengundi DUN Pantai Damai.

Majlis tersebut telah dihadiri132 peserta yang terdiri pemimpin utama bagi ketiga-tiga sayap PBB Pantai Damai.