25
Sel, Sep

Masyarakat Bidayuh Miliki Peluang Cerah Tingkatkan Ekonomi

Sarawak
Typography

KUCHING - Masyarakat Bidayuh di negeri ini mempunyai peluang yang sangat cerah untuk terus maju dalam bidang ekonomi setanding dengan kaum-kaum lain.

Ianya berikutan masyarakat ini memiliki beberapa kelebihan berbanding kaum lain seperti tanah yang subur untuk bidang agrikultur.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk  Abang Openg berkata, kebanyakan tanah milik masyarakat ini sangat subur dan sesuai untuk pertanian.

"Kami ada berbincang di kalangan pemimpin kaum bidayuh, pertama tanah mereka sangat subur.

"Yang kedua, mereka memiliki infrastruktur dan apa yang diperlukan sekarang adalah membangunkan infra siber dan seterusnya kedudukan yang dekat dengan lapangan terbang dan pelabuhan laut," katanya dalam ucapan ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) bagi enam cawangan Parti PBB dalam Zon 3 iaitu N18 Serembu, N9 Mambong, N20 Tarat, N21 Tebedu, N22 Kedup dan N23 Bukit Semuja di sini pagi ini. 

Turut hadir isteri Abang Johari Datin Patinggi Datuk Hajah Juma'ani Tuanku Bujang dan juga dua Timbalan Ketua Menteri merangkap pemangku Timbalan Pengerusi PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta Menteri Kerja Raya serta Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Ketua Pergerakan Pemuda PBB.

Justeru itu, katanya, dengan pembinaan semula Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu pasti akan memberi kesan yang amat positif kepada masyarakat bidayuh.

"Langkah ini membolehkan penduduk menikmati limpahan ekonomi apabila perdagangan darat rentas sempadan dengan entikong di indonesia dihidupkan semula.

"Selain itu, inisiatif ekonomi digital yang bakal menaiktaraf kemudahan internet di kawasan luar bandar juga akan memberi manfaat kepada kira-kira 80 peratus penduduk bidayuh yang tinggal di kawasan luar bandar," ujarnya lagi.