21
Ahd, Jan

Balak Bernilai RM125,250 Berjaya Dirampas PPM Wilayah 5 Sarawak

Sarawak
Typography

KUCHING - Sejumlah balak yang bernilai RM125,250 berjaya dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, melalui dua serbuan berasingan yang dilakukan oleh pasukan tersebut di negeri ini, masing-masing di Bintulu dan Sibu, semalam.

Serbuan pertama dilakukan di sebuah gudang di Sungai Teban, Tubau di Bintulu manakala serbuan kedua pula dilakukan di Nanga Entabai, Julau, Sibu dan kedua-dua serbuan dilakukan sekitar jam 4.30 petang.

Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, operasi serbuan dilakukan secara bersama antara PPM dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Untuk serbuan pertama di Bintulu, mereka berjaya merampas 123 batang balak pelbagai jenis dan saiz yang bernilai RM108,150 di mana turut merampas sebuah jengkaut yang bernilai RM50,000.

"Serbuan berjaya dilakukan berpandukan maklumat awam dan risikan oleh Unit Rondaan Marin di kawasan Tubau, Bintulu pada Ops Landai Khas dan pasukan kami bersama SFC telah menyerbu dan memeriksa sebuah gudang penyimpanan kayu balak.

"Pemeriksaan lanjut di gudang tersebut mendapati ianya menyimpan kayu balak termasuk jenis belian yang tidak mempunyai cop Jabatan Hutan Sarawak (JHS) serta kayu bergergaji tanpa cukai dan dokumen yang disyaki dimiliki secara haram

"Dalam serbuan tersebut, selain balak dan jengkaut, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, untuk serbuan di Nanga Entabai Julau pula, pihak PPM dari Sibu berjaya merampas sejumlah 1,863 keping kayu bergergaji yang dianggarkan bernilai RM17,100.

Berdasarkan maklumat, kayu bergergaji itu diproses di hutan dan kemudiannya dibawa keluar untuk dijual kepada pembeli.

"Kedua-dua kes diserahkan kepada JHS untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perhutanan 2015," ujarnya.