21
Sab, Jul

BN Sarawak Tubuh Beberapa Jawatankuasa Hadapi PRU14

Sarawak
Typography

KUCHING - Barisan Nasional (BN) Sarawak akan menubuhkan beberapa jawatankuasa bagi mempersiapkan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). 

Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abadul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata, jawatankuasa ini akan melibatkan penyertaan semua parti komponen BN Sarawak.

“Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan tetapi, kami telah memutuskan untuk menubuhkan beberapa jawatankuasa bagi menghadapi pilihan raya yang dijadualkan tidak lama lagi.

“Jawatankuasa ini adalah jawatankuasa bersama yang akan melihat segala persiapan melibatkan logistik dan sebagainya termasuk manifesto Sarawak sendiri selain manifesto BN pusat,” katanya ketika mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, Jumaat lepas.

Abang Zohari yang juga Pengerusi BN Sarawak turut ditanya formula yang digunakan bagi menyelesaikan kemelut Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) seperti mana yang dikehendaki Pengerusi BN Pusat Dato' Seri Najib Razak baru-baru ini.

"Rundingan masih dijalankan dan ini tidak dapat saya dedahkan kepada anda," ujarnya.

Najib dalam Perhimpunan Delegasi Tiga Tahun Sekali SUPP Ke-24 baru-baru ini telah meminta Abang Zohari mencari formula terbaik bagi menyelesaikan perbalahan kedua-dua parti itu dan percaya ia dapat diadakan. 

Dalam pada itu, SUPP dalam resolusinya kepada Najib menentang keras calon langsung BN pada PRU14 nanti dan menuntut semua kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada SUPP. 

 

Bagaimanapun, Presiden SUPP Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian menegaskan partinya bersedia menerima kembali kehadiran pemimpin dan ahli UPP yang diketuai Dato Sri Wong Soon Koh yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan ke dalam SUPP dalam usaha menguatkan BN Sarawak dalam PRU14 akan datang.