19
Jum, Jan

Pemuda BN Sarawak Dan Pemuda PBB Sarawak Ulangi Ikrar Beri Sokongan Padu Kepada Abang Jo

Sarawak
Typography

KUCHING - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengulangi ikrar akan terus memberi sokongan padu kepada Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden PBB Sarawak.

Pengerusi Pemuda BN Sarawak merangkap Ketua Pemuda PBB Dato' Seri Fadillah Yusof berkata Abang Zohari telah melakukan banyak perkara demi kebaikan negeri dan rakyat dalam tempoh setahun kepimpinannya selepas mengambilalih jawatan daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem 13 Januari 2017.

“Saya mewakili Pergerakan Pemuda BN Sarawak dan Pergerakan Pemuda PBB mengucapkan tahniah kepada Abang Johari sempena genap setahun beliau menerajui kepimpinan negeri pada hari ini (semalam) 13 Januari.

“Selama setahun ini, beliau telah bekerja meneruskan semua dasar dan janji yang dibuat oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem selaku Kapten Baharu Team Tok Nan. 

“Ini termasuklah rundingan berhubung penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan kerajaan persekutuan demi mengembalikan hak Sarawak. 

“Malah, dengan inisiatifnya, kerajaan negeri pimpinannya telah menghantar satu rombongan ke London untuk meneliti dokumen dan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63,” katanya dalam satu kenyataan media mengenai ulang tahun pertama Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke Enam.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya juga berkata beliau telah melihat banyak pencapaian Abang Zohari dan yakin Sarawak akan menjadi negeri yang berjaya di bawah kepimpinannya suatu hari nanti. 

“Ketua Menteri kita juga telah memperkenalkan dasar baharu demi memacu kemajuan Sarawak dengan memperkenalkan ekonomi digital yang telah disambut baik khususnya oleh golongan muda. 

 

“Pendekatan beliau ini diyakini mampu membawa Sarawak pergi lebih jauh ke arah sebuah negeri yang maju dan berjaya di Malaysia,” tambahnya lagi.