21
Rab, Feb

Intelligent Gauge (IG) Diperkenal Bagi Dapatkan Data Aras Air Banjir Kilat

Sarawak
Typography

KUCHING – Intelligent Gauge (IG) iaitu sistem perakam aras air mudah alih yang hybrid dan komprehensif telah diciptakan khas oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (JPS) bagi merekodkan data aras air secara telemetric dan “real time”.

Sistem IG ini juga sekaligus dapat memantau kejadian banjir dan dapat memberi amaran awal kepada penduduk di kawasan berisiko tinggi banjir kilat terutamanya di kawasan bandar dan segala data mengenai aras air akan dihantar secara Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada telefon bimbit pegawai JPS Sarawak yang bertanggungjawab mengendalikan sistem tersebut.

Menurut Penolong Pengarah Cawangan Hidrologi dan Sumber Air Jabatan Pengairan Dan Saliran Sarawak (JPS) Ir. Normahyusni Mohd Annuar, sistem ini akan menghantar data apabila sistem berkenaan mengesan paras air mengikut ketetapan yang telah ditetapkan.

“IG ini akan menghantar data secara SMS kepada telefon bimbit pegawai apabila sistem tersebut mengesan aras air setinggi 0.15 meter.

“Apabila aras air tertentu telah dikesan, siren amaran dan “strobe light” akan berfungsi yang akan memberi amaran secara audio dan visual kepada penduduk kawasan sekitar dan melalui SMS yang diterima pengawai JPS Sarawak akan mendapat maklumat bahawa kawasan tersebut telah mengalami kenaikan aras air pada paras tertentu,” katanya ketika ditemui selepas membuat demonstrasi kepada pihak media berkenaan Intelligent Gauge (IG) di Kuarters Kerajaan Persekutuan Stampin, Jalan Tun Jugah, di sini pagi ini.

Turut hadir Pegawai Tadbir Khas di Jabatan Ketua Menteri Datuk Norhayati Ismail, Inja Hellegers anak Achong Jurutera Awam JPS Sarawak dan Jacky Hambeh, Penolong Jurutera JPS Sarawak.

Kata Normahyusni lagi, setakat ini, sistem berkenaan hanya dipasang di tiga lokasi bagi membuat pemantauan paras air banjir yang berlaku di kawasan tersebut.

“Sebagai permulaan sistem IG ini hanya dipasang di tiga lokasi di Daerah Kuching iaitu di Jalan Badaruddin, Kuarters Kerajaan Persekutuan Stampin di Jalan Durian Burung dan di SK Jalan Muara Tuang dan ianya akan diperluaskan pemasangannya di kawasan lain mengikut peringkat.

“Sistem IG ini telah ditetapkan mengikut paras-paras tertentu untuk siren berbunyi sekiranya paras air meningkat di sesuatu kawasan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, menurut Jurutera Awam JPS Sarawak Inja Hellegers Achong, sebaik siren amaran IG tersebut berbunyi, pegawai yang bertangggungjawab yang terima SMS data aras air akan mengambil tindakan yang selanjutnya.

“Sistem IG ini  akan menyukat paras air mengikut ketinggian tertentu iaitu 0.15 meter untuk berwaspada, 0.2 meter untuk amaran dan 0.3 meter untuk berbahaya dan data-data aras air tersebut akan dihantar melalui SMS dan disimpan dalam sistem JPS,” ujarnya.

Selama ini, Inja memaklumkan yang pihak mereka tidak dapat merekod data banjir kilat dalam masa yang singkat dan dengan adanya sistem IG ini data mengenai aras air banjir akan dapat dilakukan dengan segera.

Sistem IG  telah dicipta oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) JPS Sarawak yang kenali sebagai DID Kenyalang dan telah memenangi Anugerah Inovasi Ketua Menteri Sarawak bagi kategori Agensi Negeri pada Konvensyen KIK Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak tahun 2017 yang lalu.

Tempoh selama tiga bulan telah diambil untuk meneroka inovasi sistem IG tersebut yang dibangunkan oleh 10 orang ahli dari JPS Sarawak dan mereka berharap agar penggunaan sistem ini akan dapat diperluaskan ke bahagian-bahagian lain pada tahun ini juga selepas mendapat keputusan melalui ujikaji di tiga kawasan yang telah dipasang sistem IG ini.