23
Sel, Okt

Generasi Muda Perlu Persiapkan Diri Dengan Ilmu Generasi Digital

Sarawak
Typography

KUCHING - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini perlu mempunyai program jangka panjang untuk golongan muda bagi mempersiapkan diri mereka sebagai generasi digital. 

Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden PBB berkata, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, golongan muda termasuk ahli Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB diingatkan untuk memantapkan lagi pengetahuan mereka dalam teknologi terkini. 

"Saya ingin berkongsi dengan anda semua iaitu generasi muda ke arah masa depan digital termasuk Wanita dan Pemuda memandangkan kini gaya hidup sudah berubah. 

"Maka, parti kita hendaklah bersama-sama menyusuli perubahan yang telah berlaku iaitu era digital, jika tidak kita akan terus ketinggalan di belakang,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam. 

Abang Zohari juga meminta ahli-ahli Wanita dan Pemuda PBB khasnya golongan profesional muda untuk segera berani berubah demi kelangsungan hidup.

Mereka perlu berani khususnya dalam mengawal emosi dan pada masa yang sama mempunyai pengetahuan yang luas dalam mencapai parti demi kesejahteraan rakyat.

Program ARMADA misalnya, ahli-ahli Pemuda PBB perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang betul dan pendekatan serta peralatan yang wajar untuk bergerak ke hadapan apabila menghadapi cabaran. 

"Hari ini semuanya berkisar kepada teknologi dan bukan seperti ‘perang’ pada satu ketika dahulu yang menggunakan senjata tetapi hari ini perang menggunakan dunia siber seperti media sosial. 

"Ia adalah peralatan yang boleh memusnahkan negara, maka kita di Sarawak telah mewujudkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk menyelaras bagi memastikan teknologi digunakan untuk tujuan baik dan bukan keburukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, antara program jangka panjang untuk generasi muda di Sarawak ialah memantapkan institusi pendidikan, mendedahkan mereka kepada pembangunan bakat dan penguasaan teknologi untuk membangunkan aplikasi. 

Sejarah PBB sebelum ini telah membawa dan mengubah serta membangunkan Sarawak selain memperkukuhkan perpaduan di kalangan semua kaum dan agama.

"Sarawak telah berubah dan ini semua hasil perjuangan dan sumbangan PBB selain disokong oleh komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak yang lain.

"PBB mempunyai dasar yang lama untuk membangunkan Sarawak di mana banyak kawasan di luar bandar di negeri ini telah berubah wajah seperti Samarahan, Kapit, Betong dan Mukah. Inilah hasil politik pembangunan khasnya oleh bekas pemimpin PBB kita,” tegasnya. 

 

Justeru, perjuangan PBB tidak ada terhenti di sini, sebaliknya masih banyak yang perlu diberikan perhatian khususnya dalam menjadikan Sarawak maju 2030 dan membangunkan secara berterusan kawasan luar bandar di negeri ini.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.