20
Kha, Sep

Sembilan Tahun Sebagai PM, Najib Dekat Di Hati Rakyat Sarawak

Sarawak
Typography

KUCHING - Sepanjang Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri sejak sembilan tahun lalu, beliau bukan sahaja menyerlah dalam membangunkan Malaysia bahkan bersungguh membangunkan Sarawak yang ketika ini sangat memerlukan perhatian dalam memajukan negeri ini.

Ini terbukti dengan peruntukan yang besar diberikan kepada Sarawak dalam membina Lebuh Raya Pan Borneo yang dianggarkan bernilai RM14 bilion di mana ketika ini lebuh raya itu sedang dalam pembinaan.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, tidak cukup dengan itu, persetujuan Kerajaan Persekutuan menjual Empangan Bakun kepada Kerajaan Negeri juga suatu yang harus disyukuri.

“Sepanjang sembilan tahun menjadi Perdana Menteri, Najib sudah melawat Sarawak sebanyak 59 kali dan 126 lokasi termasuk di kawasan pedalaman.

“Beliau tidak pernah datang dengan tangan kosong, sebaliknya ada sahaja peruntukan pembangunan yang diluluskan. Ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan baliau dalam mengimbangi pembangunan negeri ini dengan negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan aluan di majlis Perasmian Perhimpunan Agung PBB Ke 14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching di sini pagi tadi.

Keikhlasan Najib membantu rakyat di Sarawak membuatkan Perdana Menteri Ke 6 itu bukan sahaja disayangi rakyat Sarawak bahkan dekat di hati mereka.

“Keikhlasan ini terserlah apabila beliau membuka jalan dan secara terbuka mengembalikan beberapa perkara berkaitan hak keistimewaan negeri ini seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Tidak cukup dengan itu, transformasi pembangunan dan sosiekonomi yang dilaksanakannya dalam tempoh sembilan tahun ini ternyata sangat berbeza dengan berbanding bekas Perdana Menteri terdahulu yang memerintah negara selama 22 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau bersama ahli-ahli PBB dan komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak akan terus memberikan sokongan padu kepada Najib pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memastikan beliau terus menjadi Perdana Menteri.

 

“Seperti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lalu di mana PBB berjaya menyapu bersih kesemua kerusi yang ditandinginya dan kali ini saya memberi jaminan untuk berusaha mengulanginya pada PRU-14 sebagai sokongan berterusan kepada Perdana Menteri,” katanya.