11
Sel, Dis

Ekonomi Malaysia Pada Landasan Kukuh - Najib

Sarawak
Typography

KUCHING - Biarpun pembangkang berkali-kali menuduh ekonomi Malaysia berada dalam keadaan ‘bankrap’ dan menjual kedaulatan negara kepada negera China, tetapi hakikatnya Malaysia tetap kukuh dari segi ekonomi dan hubungannya dengan negara China.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, kejayaan Malaysia mengekalkan hubungan dengan negara luar melalui kerjasama diplomasi bukan sahaja memberikan kebaikan dari segi ekonomi, tetapi juga sosial dan politik.

“Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip diplomasi dan bukan pendekatan konfrontasi dalam menyelesaikan sesuatu isu, maka adalah penting untuk kita mengekalkan hubungan baik itu.

“Contohnya dalam melaksanakan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), ada berapa isu sebelum ini, namun berjaya diselesaikan dengan Singapura menerusi pendekatan diplomasi,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Atas sebab hubungan diplomasi yang baik menyebabkan projek yang berimpak tinggi itu bukan sahaja dapat diadakan dengan jayanya, bahkan memperkukuhkan ekonomi kedua-dua negara.

“Begitu juga hubungan Malaysia dengan China, di mana negara itu antara 10 negara asing yang mempunyai pelaburan yang terbesar di Malaysia.

“Justeru, hubungan Malaysia-China ini berdasarkan kepada pembangunan ekonomi negara dalam jangka panjang dan bukannya menjual kedaulatan negara seperti yang dituduh pembangkang,” katanya lagi.

Mengenai tuduhan pembangkang yang menyatakan ekonomi Malaysia dalam keadaan bankrap, itu tuduhan yang tidak berasas.

“Siapa kata negara kita bankrap, malah ketika ini nilai dagangan ringgit mencecah prestasi membanggakan dan kedudukan kewangan kerajaan sangat baik hingga membolehkan pelbagai agenda transformasi pembangunan dirancang dan dilaksanakan,” ujarnya lagi.

Najib yang juga Menteri Kewangan, juga memberitahu kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan prestasi ekonomi negara dan memperkasakan kehidupan rakyat dengan mengadaptasikan ekonomi digital yang menjadi trend global.

Katanya, inisiatif kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, memperkenalkan Dasar Ekonomi Digital disifatkan sangat bertepatan dalam memacu kemajuan negeri itu.

Di pihak kerajaan Persekutuan, kita akan sentiasa membantu Sarawak dan negeri-negeri lain dalam membangunkan ekonominya dengan menarik lebih ramai pelabur asing melabur di negara ini.

 

“Kita akan berusaha menarik lebih ramai pelabur luar negara untuk datang dan melabur di negara ini dan sekaligus memberikan manfaat kepada negeri yang menyediakan kemudahan dan pelaburan demi kesejahteraan negara pada masa akan datang,” katanya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.