25
Rab, Apr

Contohi Parti PBB Untuk Jadi Parti Terkuat Di Malaysia

Sarawak
Typography

KUCHING - Parti komponen Barisan Nasional (BN) harus belajar dalam mengadaptasikan semangat permaufakatan dan penyatuan yang ada di dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sekali gus menjadikan parti politik terkuat di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, dua elemen tersebut merupakan tonggak penting dalam memperkukuhkan parti komponen, khususnya di peringkat akar umbi dalam mendepani cabaran Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"PRU-14 kali ini dijangka pilihan raya paling mencabar dalam sejarah negara. Justeru, kita memerlukan persediaan secukupnya, terutama dengan berpaksikan semangat permuafakatan dan penyatuan dalam kalangan parti komponen.

"Semangat ini sudah lama wujud dalam PBB, sekali gus menjadikannya sebuah parti dominan kita di Sarawak. Kita boleh berkongsi sama pengalaman mereka (PBB) itu bagi mewujudkan suatu konsep kejituan dalam kalangan parti komponen lain," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung PBB Ke-14 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, Sabtu lepas.

Najib yang juga Pengerusi BN turut berkata, PBB sebagai parti komponen terbesar di Sarawak turut memiliki struktur organisasi kepemimpinan yang cukup teratur, malah tidak pernah berdepan perebutan kuasa, sebaliknya diselesaikan melalui 'perundingan keluarga', sekali gus mengelak risiko perpecahan dan kewujudan kumpulan atau puak tertentu.

"Tahniah Datuk Amar Abang Johari (Abang Openg) kerana kekal menjadi Presiden PBB, begitu juga Datuk Amar Douglas (Uggah Embas) dan Datuk Amar Awang Tengah (Ali Hassan) dipilih menjadi Timbalan Presiden. Difahamkan, tiga jawatan utama ini tidak dipertanding berdasarkan usul dari akar umbi. Inilah uniknya mengenai PBB.

"Ada jawatan dipertandingkan, tetapi menang tanpa bertanding apabila ada pihak lain membuka laluan. Dalam PBB, tiada berebut jawatan kerana perpaduan parti sentiasa dititikberatkan. PBB cukup jelas berpegang kepada dasar politik matang. Inilah yang kita mahu pelajari dari PBB, terutama dalam kalangan parti komponen lain," katanya.

Pada masa yang sama, Najib bersikap optimis dan yakin dengan keupayaan BN Sarawak, terutama PBB yang berjaya mengekalkan keputusan 'A+' dalam PRU14.

"Kita akan pastikan BN Sarawak... PBB bukan sahaja memperoleh majoriti lebih besar, bahkan mandat penuh rakyat bagi membentuk kerajaan yang kuat dan utuh dalam membawa negara ke era masa depan yang lebih cemerlang.

 

"Sudah pasti PBB di bawah 'Team Adenan' yang kini dipimpin kapten baharu, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg kekal menjadi benteng kekuatan BN secara keseluruhannya," katanya.