25
Rab, Apr

Perjanjian Malaysia - Hak Sarawak Akan Dikembalikan

Sarawak
Typography

KUCHING - Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan dan memberi jaminan bahawa segala hak negeri ini (Sarawak) yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dikembalikan.

Beliau turut menjelaskan, mana-mana hak Sarawak yang telah terambil, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja sebelum ini semestinya akan dikembalikan demi masa depan negeri dan rakyatnya.

"Saya sanggup kembalikan hak-hak Sarawak... tidak perlu kita ambil hak orang lain. Kita satu keluarga.... biar kita kekal dalam satu keluarga besar Barisan Nasional (BN) dan sebuah negara bernama Malaysia.

"Atas sebab sama juga, kita tidak berdepan apa-apa masalah untuk berunding dalam perkara ini kerana kedua pihak, baik Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri, kita dalam satu keluarga sama," katanya semasa berucap di Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini Sabtu lepas.

Najib yang juga Pengerusi BN Pusat, berkata proses perundingan itu masih berlangsung di antaranya dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg, meneruskan usaha dirintis oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

"Kita yakin usaha ini dapat memberi kesan cukup signifikan terhadap kemajuan Sarawak dan rakyatnya. Jika orang Sarawak senyum, kita pun akan gembira.

"Bersama Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari, kita akan terus berunding dengan baik dan mencari mekanisme penyelesaian yang bersesuaian," katanya.

Najib berkata, kepemimpinannya cukup terbuka dalam perkara itu berbanding seorang lagi pemimpin yang mentadbir Malaysia selama 22 tahun sebelum ini.

"Ketika zaman pemimpin itu dulu, kalau kita bercakap mengenai MA63 sudah pasti akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Itu sebabnya Sarawak terus ketinggalan ketika negara ini di bawah kepemimpinannya," katanya.

 

Isu hak dan keistimewaan Sarawak dalam MA63 merupakan antara usul utama yang dibentangkan sepanjang perhimpunan kali ini, selain ekonomi digital dan pendidikan rakyat.