18
Ahd, Nov

Pemain Bola Sepak Sarawak Disyaki Mengatur Perlawanan 

Sarawak
Typography

KUCHING - Satu siasatan dalaman akan dilakukan oleh Pengurus Pasukan berikutan beberapa laporan adanya pemain Sarawak yang terlibat dalam mengatur perlawanan pada perlawanan membabitkan Sarawak lawan Felcra FC di sini, Sabtu lepas.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Dato Posa Majais berkata, beliau telah mengarahkan pengurus pasukan Kol (PA) Tuan Haji Abdul Rahim mengetuai siasatan dalaman dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

"Pihak kami telah menerima beberapa laporan bahawa terdapat beberapa pemain Sarawak terlibat dengan aktiviti mengatur perlawanan (match fixing) dan kami memandang serius terhadap laporan ini.

"Seperti ikrar kami kepada beberapa siri taklimat bersama Suruhanjaya Pencegah Rasuah malaysia (SPRM), pihak persatuan memandang serius terhadap salah laku ini sekiranya benar.

"Sekiranya benar, pemain-pemain yang disyaki akan digantung daripada pasukan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, malam tadi.

Sementera itu, FAS memohon maaf kepada semua penyokong bola sepak Sarawak di atas kekalahan pasukan kepada Felcra FC, Sabtu lepas.

 

"FAS memohon maaf kepada semua penyokong bola sepak di atas kekalahan pasukan Sarawak kepada pasukan Felcra FC khasnya kepada penyokong terhadap keputusan di luar jangkaan semalam biarpun kemenangan hampir berada di tangan kita," katanya.