17
Jum, Ogs

Penggunaan Bas Elektrik Di Kuching Sedang Peringkat Perbincangan

Sarawak
Typography

KUCHING – Penggunaan bas elektrik di Bandaraya Kuching seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg sebelum ini sedang berada dalam peringkat perbincangan bagi membolehkan ianya dilaksanakan menerusi Projek Perintis Skim Transformasi Bas Henti-Henti ataupun Stage Bus Services Transformation (SBST).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Nancy Shukri yang juga merangkap Naib Ketua Wanita Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak berkata, perjanjian perkhidmatan pelaksanaan projek SBST yang telah ditandatangani November lalu perlu dipinda bagi membolehkan Kerajaan Pusat menyediakan kemudahan yang dapat menyokong penggunaan kuasa elektrik terhadap kesemua 90 buah bas yang akan menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar, kampung ke bandar di seluruh Kuching.

"Perjanjian yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan dan operator rangkaian iaitu Konsortium Bas Bandaraya Kuching (KBBK) Sdn Bhd pada November lalu perlu dipinda kerana Sarawak memerlukan jumlah peruntukan yang baru untuk memulakan operasi kesemua 90 'myBas elektrik' yang termasuk pembangunan infrastruktur yang mampu menyokong penggunaan 'myBas elektrik' termasuk pembinaan stesen pengecas bas elektrik,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas kenyataan Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Patinggi Mohd Najib Tun Razak dalam ucapan beliau semasa Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) baru-baru ini.

Dalam ucapan Najib beliau menyatakan yang menyatakan komitmen Kerajaan Pusat untuk memenuhi permintaan Sarawak dalam membina pelbagai lagi projek pembangunan di negeri ini.

Katanya lagi, baru-baru ini beliau juga telah menerima kunjungan daripada Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak (MIDT), Datu Safri Hj Zainuddin dan Dr Abdullah Zaidel dari Pejabat Ketua Menteri Sarawak dan Henry Lau yang mewakili Konsortium BBK Sdn Bhd.

Mengikut perjanjian asal, Kerajaan Pusat memperuntukkan sejumlah RM50 juta setahun untuk menyediakan perkhidmatan bas berhenti-henti di 27 laluan yang terpilih meliputi lebih 10 juta kilometer setahun.

Justeru itu tambahnya, peruntukan baru perlu dipohon kerana ia turut melibatkan perubahan pada spesifikasi saiz bas yang telah ditetapkan memandangkan terdapat laluan yang agak sempit memerlukan bas yang bersaiz lebih kecil.

“Saya minta agar Kerajaan Sarawa mengemukakan surat rasmi bagi membolehkan saya memanjangkan kepada Kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu.

Sekiranya segalanya berjalan lancar, Sarawak bakal menjadi negeri pertama yang menggunakan 'myBas elektrik' sepenuhnya dan dijangka beroperasi Januari tahun depan,” tegasnya.