17
Jum, Ogs

Lapor Kepada KPDNKK Jika Ada Peniaga Jual Barangan Kawalan Melebihi Harga Yang Ditetapkan

Sarawak
Typography

KUCHING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menasihati pengguna agar memberi kerjasama dan membuat laporan kepada pihaknya jika mempunyai maklumat terdapat para peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan kawalan melebihi harga yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

Menurut Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Henry Sum Agong, tindakan tegas akan diambil terhadap para peniaga yang didapati melakukan kesalahan yang telah dinyatakan.

Katanya, menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina 2018 pada tahun ini, pihaknya telah meyenaraikan 13 jenis barangan yang dikawal harga sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) yang bermula 10 Febuari lalu hingga 21 Februari 2018 akan datang.

Antara barangan yang dikawal adalah meliputi kategori ayam, telur ayam, sayur-sayuran, hasil laut, barang kering dan daging babi.

“Sepanjang tempoh 12 hari ini, pihak kita ingin melihat tiada kenaikan harga barang kawalan melebihi harga yang ditentukan dan ini penting.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap para peniaga yang menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan, menggunakan alat timbang yang tidak ditentu sahkan dan gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan harga barangan lain.

“Kalau harga dia murah itu lebih baik untuk pengguna,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan Pelaksanaan SKHMP Tahun Baru Cina di Pasar Raya Giant Tabuan Jaya di sini pagi semalam.

Justeru, bagi memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan, anggota Penguatkuasa KPDNKK akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Untuk menjayakan skim ini, para peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan.

“Pengguna haruslah tahu mengenai tanggungjawab dan menggunakan hak mereka,” katanya

Tambahnya lagi, pelaksanaan SKHMP menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah antara langkah kerajaan dalam meringankan beban rakyat khususnya dalam musim perayaan disamping menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barang pada masa kini.

Tegasnya, mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti denda oleh mahkamah sehingga RM100,000 untuk individu atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Manakala, untuk syarikat pula denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Beliau juga mengesa mana-mana pengguna yang ingin membuat aduan boleh menghubungi talian 03-8000 8000 1Malaysia One Centre (1MOCC), 03-8882 6088/6245 (Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik- PIGOS), aplikasi telefon pintar Ez ADU, e-mel ke alamat [email protected]< butiran aduan> atau lapor di mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh negara.