26
Sab, Mei

Naib Presiden Kanan PBB  Komited Realisasikan Visi Abang Johari

Sarawak
Typography

KUCHING - Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Sarawak yang baharu dilantik, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan yang beliau amat komited merealisasikan visi Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk merapatkan jurang pembangunan infrastruktur dan juga sosial di antara luar bandar dan kawasan bandar di negeri ini.

Pembangunan tersebut termasuklah pembangunan yang melibatkan aspek pembinaan infrastruktur jalan raya, hospital, klinik dan juga sekolah disamping beliau sendiri akan berusaha untuk memberi penerangan berhubungan perubahan yang dibawa oleh Industrial Revolutions 4.0 kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Saya akan bersama-sama pemimpin lain mendukung visi dan misi presiden parti untuk membawa Sarawak melangkah ke hadapan terutama dalam aspek pembangunan era teknologi terkini.

"Industrial Revolutions 4.0 ini boleh ditakrif sebagai teknologi distraktif yang mengubah cara bekerja dan gaya hidup masyarakat.

"Perubahan ini yang perlu kita bawa kepada rakyat peringkat akar umbi supaya mereka bersiap sedia,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung PBB Ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Justeru itu, jika perubahan tersebut tidak dilaksanakan masyarakat bukan sahaja ketinggalan di belakang malah hilang persaingan dari segi merebut peluang pekerjaan, perniagaan dan pasaran yang luas sekarang.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Petra Jaya memaklumkan golongan yang merupakan pakar ICT perlu dibawa dalam sesi penerangan tersebut untuk memberi penerangan yang lebih jelas dan menyampaikan kepada masyarakat akar umbi supaya golongan sasar ini sedar akan kepentingan ICT dan boleh menggunakan teknologi.

"Maka itu, saya harap juga ahli-ahli PBB agar meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam ICT masing-masing kerana mereka akan memberi penerangan kepada rakyat akar umbi," tambahnya lagi.