23
Sel, Okt

11 RAMD Gagalkan Hasrat Tiga Lelaki Pendatang Tanpa Izin Cuba Menyeludup Keluar Dari Negeri Ini

Sarawak
Typography

LUNDU - Percubaan tiga individu Pendatang Tanpa Izin (PATI) dari negara Indonesia cuba keluar dari negeri ini secara haram digagalkan oleh Batalion Kesebelas Rejimen Askar Diraja (11 RAMD)  pada petang semalam.

Pegawai Memerintah 11RAMD, Lt Kol Salmi bin Istikh Ahmad berkata, dalam tangkapan sekitar jam 4 petang tersebut, pasukan 11 RAMD telah melaksanakan serkap di laluan belakang ladang sawit Pak Langi lebih kurang 200 meter dari Sempadan Malaysia/Indonesia.

"Setelah dua jam hasil intipan pasukan tersebut, mereka telah menjumpai tiga orang warga Indonesia sedang berjalan melalui lorong tikus berhampiran Sempadan Malaysia/Indonesia menuju ke Indonesia.

"Melalui maklumat yang diperolehi, rakyat Indonesia tersebut didapati bersalah apabila mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan berhasrat untuk pulang ke kampung halaman di Sambas, KALBAR, Indonesia melalui jalan yang tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan kepada pihak media semalam.

Tambahnya lagi, PATI tersebut akan dihantar oleh agen ke kampung halaman di Sambas, Indonesia.

Ketiga-tiga PATI berkenaan yang berumur di antara 20 sehingga ke 40 tahun telah dibawa ke Balai Polis Lundu untuk tindakan pihak polis selanjutnya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.