23
Sel, Okt

Kerajaan Negeri Sarawak Luluskan Segera Peruntukan RM10.5 Juta Baiki Sekolah Dan Klinik Rosak

Sarawak
Typography

BINTULU - Kerajaan Negeri Sarawak luluskan segera peruntukan berjumlah RM10.5 juta bagi membaik pulih sekolah dan klinik kesihatan yang terjejas teruk akibat banjir.

Sebanyak 173 buah sekolah dan dua buah klinik kesihatan telah dikenal pasti untuk dibaiki merangkumi prasarana dan infrastruktur yang rosak.

"Kerajaan turut meluluskan peruntukan berjumlah RM250,000 bagi memperbaiki dua klinik kesihatan di daerah Tatau iaitu Klinik Kesihatan Nanga Tau dan Klinik Kesihatan Nanga Sangan yang rosak teruk akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun. 

Terdahulu, seramai 489 mangsa yang terdiri daripada 113 buah keluarga mangsa banjir di daerah Tatau telah ditempatkan di sini sejak seminggu lalu ekoran rumah mereka dinaiki air. 

Keadaan banjir di negeri ini pada minggu lepas adalah yang terburuk pernah berlaku di negeri ini selepas banjir besar kira-kira 55 tahun lalu dan banjir kali ini agak luar biasa.

Abang Zoahri juga berkata, kecekapan pengurusan banjir yang dilakukan oleh jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat yang memindahkan mangsa-mangsa banjir ke lokasi yang selamat juga cukup dihargai sehingga tiada sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Saya amat berterima kasih terhadap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang bekerja keras melaksanakan tugas dimanahkan bagi membantu mangsa,” jelasnya. 

Sepanjang kejadian banjir itu, 40 buah sekolah yang terletak di daerah Selangau dalam Bahagian Sibu telah terjejas, sementara Mukah dan Limbang masing-masing 28 buah sekolah, juga Miri dan Bintulu masing-masing sebanyak 22 buah, manakala Serian sebanyak sembilan buah, Sarikei tiga buah dan Betong dan Kapit masing-masing dua buah.

Bagi mengatasi masalah ini terus berlaku, Abang Zohari telah mengarahkan Pejabat Residen dan Jabatan Tanah dan Survei mencari tapak lebih tinggi dan selamat bagi membina semula lima sekolah di negeri ini dikenal pasti mudah dinaiki air. 

"Saya mengarahkan kedua-dua pihak menjalankan perbincangan dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah di lima sekolah terbabit bagi menentukan lokasi sesuai dan harus terletak di kawasan berdekatan supaya tidak jauh untuk penduduk setempat menghantar anak-anak ke sekolah," katanya.

Dalam lawatan itu, Abang Zohari turut menemui mangsa banjir dan menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas. 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.