22
Kha, Feb

Dalam Masa Enam Bulan, Sarawak Bakal Tampil Dengan Model, Produk Dan Jenama Perumahan Tersendiri

Sarawak
Typography

KUCHING - Dalam tempoh enam bulan, negeri ini  bakal tampil dengan model, produk dan jenama perumahan tersendiri.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, negeri ini  perlulah tampil dengan produk, pelan dan juga jenama sendiri dalam membangunkan kawasan perumahan agar segala rumah yang siap dibina nanti akan dapat dijual pada harga yang mampu milik penduduknya.

Justeru itu, katanya kerajaan negeri mempunyai strategi, dan dengan kerjasama pemaju kerajaan akan menyediakan perumahan dengan harga RM250,000 hingga RM300,000 seunit.

“Dengan kerjasama pemaju, kita akan tampil dengan rumah yang akan dijual pada harga yang berpatutan.

"pada peringkat ini, kami (kerajaan) sedang berunding dengan pihak pemaju dan sedang mencari jalan terbaik supaya dapat tampil dengan pelan, model dan jenama perumahan tersendiri,” katanya dalam ucapan semasa hadir melancarkan pelancaran produk pembiayaan Islam baru Borneo Housing Finance Bhd Bhd di sebuah hotel  di sini, petang semalam.

Justeru itu tegasnya lagi, Sarawak tidak seharusnya hanya bergantung dengan jenama daripada pemaju dari Kuala Lumpur dan haruslah berusaha sebaiknya mengeluarkan jenama sendiri.

"Dengan pelan sedia ada, kawasan perumahan baharu itu nanti akan lengkap dihubungkan dengan sistem aliran trafik ringan (LRT) dengan jarak perjalanan sekitar 30 minit dari pusat bandar," ujarnya.

Tegasnya, pada masa ini harga rumah dilihat sangat tinggi dan ianya tidak dapat dibeli oleh pembeli dan terdapat juga harga sebuah dijual  kira-kira RM600,000 manakala di lokasi premium harga boleh meningkat sehingga RM1 juta.

Beliau berkata langkah untuk memperkenalkan model perumahan sendiri negeri itu selaras dengan inisiatif kerajaan untuk memperbaiki sistem pengangkutan termasuk projek sistem Transit Aliran Ringan (LRT).

"Kami (kerajaan) akan memulakan program pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan kami mungkin dapat membuka kawasan baru kami untuk membina rumah mampu milik."

“Dengan sistem pengangkutan awam yang baik, kerajaan negeri boleh membina penempatan baru yang berdekatan dengan stesen LRT supaya orang ramai boleh menggunakan kereta api untuk pergi ke pusat bandar,”ujarnya lagi.

Justeru itu beliau memaklumkan dengan penempatan baru itu nanti, pemaju boleh membina rumah-rumah yang kos penjualannya dalam lingkungan RM250,000 hingga RM300,000 seunit dengan ruang kira-kira 1,000 kaki persegi dan tiga bilik.