18
Sab, Ogs

Guna Kuasa Imigresen Halang Individu Berfahaman Melampau Memasuki Negeri Ini

Sarawak
Typography

KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak memberi jaminan akan terus menggunakan kuasa imigresen negeri yang ada untuk menghalang mana-mana individu daripada Semenanjung Malaysia atau dari mana-mana sahaja yang mempunyai fahaman pelampau dan extremis dari memasuki negeri ini.

Langkah tersebut penting demi memastikan keamanan yang dikecapi oleh masyarakat berbilang kaum di negeri ini terus terpelihara.

Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dasar berkenaan telah dimulai oleh Ketua Menteri terdahulu sebelum dirinya iaitu Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan.

Justeru itu ujarnya, rakyat Sarawak perlulah terus setia menyokong kerajaan yang ada pada hari ini dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke 14 nanti untuk terus memastikan keamanan serta perpaduan yang ada pada masa kini dapat terus dipertahankan.

“Dengan mandat yang diberikan, ianya akan membolehkan kerajaan negeri khasnya untuk terus mempunyai keupayaan membela perpaduan rakyat dari dicerobohi oleh kalangan ekstremis ini terutama sekali dari Semenanjung Malaysia.

“Sarawak tidak mahu membawa golongan ekstremis ini masuk ke negeri ini dan saya selaku ketua menteri akan mengunakan kuasa yang ada untuk menghalang orang seperti ini dan kita mesti mempertahankan budaya kita yang begitu aman dan harmoni yang telah kita perjuangkan sejak dari kepimpinan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan zaman Tok Nan sebelum ini.

“Kalau orang Semenanjung hendak membawa fahaman pelampau mereka ke negeri ini, pihak Imigresen kita akan memaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan masuk ke negeri ini,”katanya dalam ucapan semasa hadir di Program Apresiasi Rukun Tertangga Bahagian Kuching anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Penview Kuching kelmarin.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya Datuk Sri Fadillah Yusof dan Pengarah Jabatan Perpaduan Sarawak Dirwana Azool.

Sementara itu, tegas Abang Johari lagi, kerajaan negeri tidak mahu individu berfahaman pelampau memasuki negeri ini kerana bimbang mereka akan menyebarkan fahaman yang tidak baik kepada rakyat negeri ini disamping ianya boleh merosakkan perpaduan yang erat antara masyarakat tempatan yang berbilang kaum dan agama.

“Saya lihat kawasan Rukun Tertangga (KRT) di negeri kita ada kaum Cina, Bidayuh, Iban dan Orang Ulu pun ada kerana mereka tinggal di bandaraya Kuching dan ini jadi suatu keadaan yang begitu baik yang mana masyarakat kita berbilang kaum,agama dan mereka dapat hidup dalam aman tenteram.

“Disebabkan perpaduan itulah Sarawak tidak mahu kemasukan orang yang berpandangan pelampau atau ekstremis itu masuk ke negeri ini,” ujarnya lagi.

Katanya, terdapat seseorang individu yang berfahaman pelampau dari Semenanjung telah menimbulkan banyak isu perkauman dan keagamaan di negeri ini dengan yang terbaru adalah berkaitan isu kedai dobi yang tidak  boleh dikongsikan penggunaannya oleh umat Islam dan yang bukan Islam.

Dengan keadaan negeri ini yang mempunyai kepelbagaian agama dan kaum isu tersebut seharusnya tidak ditimbulkan memandang terdapat sesetengah ahli keluarga yang mereka hidup dalam keluarga campuran penganut Islam dan Kristian.

Namun mereka masih menghormati antara satu sama lain biarpun duduk serumah tapi sentiasa menjaga sensitiviti ahli keluarga yang telah memasuki agama Islam.

Justeru itu, beliau menyeru agar penduduk di negeri mestilah terus mempertahankan budaya hidup mereka yang selama ini sentiasa bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama demi memastikan mereka hidup aman damai.