22
Kha, Feb

Kuching Tuan Rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri

Sarawak
Typography

KUCHING – Bandaraya Kuching telah dipilih sebagai tuan rumah untuk penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak tahun 1439H bersamaan 2018 pada tahun ini.

Majlis tersebut yang diadakan di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kompleks Islam Sarawak akan diadakan bermula pada 27 Februari hingga 2 Mac 2018 bersamaan 11 Jamadilakhir hingga 14 Jamadilakhir 1439H.

Bertemakan “Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara” penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak bakal mempertandingkan 10 qari dan 10 qariah termasuk Johan Menunggu yang bakal memperdengarkan bacaan masing-masing.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak ini bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 27 Februari 2018M bersamaan 11 Jamadilakhir 1439H.

Manakala bagi Malam Penyampaian Hadiah pula akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 2 Mac 2018M bersamaan 14 Jamadilakhir 1439H.

Terdapat beberapa aktiviti sampingan sempena berlangsungnya Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak seperti Pertandingan Tafsir Al-Quran (kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah), Kuiz Al-Quran dan jualan serta pameran di Lobi Bangunan Majma bermula 27 Februari hingga 2 Mac 2018.

Selain itu, Pertandingan Seni Khat dan Pertandingan Bercerita Kisah Nabi (kategori sekolah rendah) turut diadakan di Lobi Bangunan Majma pada 28 Februari 2018.

Pada masa yang sama, Forum Keagungan Al-Quran bakal diadakan di Dewan Kompleks Islam Sarawak pada 1 Mac 2018 serta Forum Wanita pada 8 Mac 2018 di tempat yang sama.

 

Muslimin dan muslimat adalah dijemput untuk bersama-sama mengimarahkan lagi majlis tersebut.