26
Sab, Mei

Lebih RM250 Ribu Geran Diperuntukkan Untuk Urusetia Saudara Kita

Sarawak
Typography

KUCHING - Lebih RM250 ribu geran telah diperuntukkan kepada pihak Urusetia Saudara Kita Sarawak (USK) untuk membantu dan meningkatkan kerja-kerja dakwah di kalangan ahli-ahli persatuan tersebut di seluruh negeri ini.

Geran tersebut telah disampaikan oleh Yang DiPertua Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) Datin Patinggi Dato Juma’ani Tun Tuanku Bujang semasa menghadiri Majlis Penangguhan Pemukiman dan Kepimpinan Dayak Muslim Kebangsaan Dan Penyerahan Geran Urus Setia Saudara Kita di sebuah hotel terkemuka di sini baru-baru ini.

Dalam majlis yang sama, Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan telah menerima sumbangan sebanyak RM30,000 untuk membantu kerja-kerja dakwah di kalangan mualaf di negeri ini.

Turut dianugerahkan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada aktivis-aktivis yang telah banyak menyumbang kepada kerja-kerja dakwah, Anugerah Ikon Daie Saudara Kita telah disampaikan kepada Ustaz Mohd Sharif Robin Abdullah, Ustaz Yaakub Abdullah, Ustaz Nizam Abdullah, Idris Ahmad dan Siti Nursiah Abdullah.

Masing-masing membawa pulang plak dan sijil penghargaan, hadiah iringan dan wang tunai seribu ringgit.

Manakala, Anugerah Utama Ikon Daie Saidina Abu Bakar As-Siddiq diterima oleh Ustaz Mohd Chathazman bin Abdullah, 55 dan beliau yang berbangsa Iban telah memeluk Islam pada 24 November 1983, berasal dari Kapit merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM Kuching.

Antara yang turut ialah Timbalan Yang DiPertua SABATI Yang Berbahagia Dato Dayang Morliah Dato Haji Awang Daud, Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin, Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Khalidi Ibrahim.