22
Kha, Feb

KRT, SRS Perlu Efektif Untuk Kekalkan Perpaduan

Sarawak
Typography

KUCHING - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) perlu terus mainkan peranan yang lebih efektif di peringkat komuniti masing-masing bagi membantu kerajaan mengekalkan perpaduan negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg semasa menyempurnakan Program Apresiasi Rukun Tetangga 2018 di Pusat Konvensyen Penview, Demak semalam berkata perpaduan dan toleransi yang tinggi di samping saling menghormati tatasusila di antara kaum menjadi amalan Rukun Tetangga di Sarawak yang menjadi contoh perpaduan bagi negeri lain.

Pada majlis tersebut Abang Johari turut menyampaikan Sijil Pengurusan dan Pengoperasian Cemerlang 2017 kepada Kampung Sungai Midin Santubong mewakili Kawasan Rukun Tetangga Bahagian Kuching, manakala bagi bahagian Samarahan pula diwakili oleh KRT Kampung Asajaya Tengah dan KRT Lintang baru untuk bahagian Serian.

Turut disampaikan ialah Sijil Pengurusan dan Pengoperasian Skim Rondaan Sukarela Contoh 2017 Bahagian Kuching kepada PPD Telaga Air Kuching dan juga Pasar Asajaya di bahagian Samarahan.

Manakala, Sijil Penghargaan Sukarelawan Setia disampaikan kepada Sim Teck Hua dari KRT Kenyalang Park sebagai penghargaan di atas kerja-kerja sukarela yang beliau berikan.

KRT yang diwakili beliau adalah KRT pertama yang diwujudkan di bahagian Kuching.

Manakala sijil yang sama turut diterima oleh Ajis bin Hussin mewakili KRT Kampung Meranek Samarahan.

Setakat ini, bilangan kawasan Rukun Tetangga di Sarawak ialah sebanyak 977 buah, dan 205 KRT di bahagian Kuching, 90 KRT di Samarahan dan 18 KRT bahagian Serian.

Dengan adanya KRT ini, ia secara tidak langsung dapat memupuk kemesraan dan sikap tolak ansur di kawasan kejiranan di samping memastikan keselamatan dan keselesaan masyarakat umumnya.

Turut hadir sama ialah Isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Kerja Raya Dato‘ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus.