26
Rab, Sep

Pelajar IPT Awam, Penganggur Ditahan Bersama Bungkusan Dadah

Sarawak
Typography

KUCHING - Seorang pelajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan seorang lagi penganggur ditahan oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Ibu Pejabat Kontijen (IPK) kerana memiliki dadah jenis ganja, di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata suspek yang merupakan pelajar IPT berbangsa Kayan ditahan bersama satu bungkusan dan seorang lagi rakan suspek berbangsa Iban yang juga penganggur ditahan di dalam sebuah kereta yang diletakkan di kawasan berhampiran tersebut.

"Lebih kurang jam 10 pagi, sepasukan JSJ Narkotik IPK Sarawak telah menahan seorang lelaki berbangsa Kayan yang sedang memegang satu bungkusan yang diambil dari syarikat kurier Pos Laju di tepi sebuah bangunan syarikat berkenaan.

"Turut ditahan seorang suspek berbangsa Iban yang berada di dalam sebuah kereta yang sedang diparkir berhampiran bangunan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, didapati bungkusan tersebut mengandungi satu ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dengan berat kasar 476 gram," katanya dalam satu kenyataan media petang tadi.

Superintendan Sahar juga memberitahu anggaran nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu bernilai RM5,600.

Dalam pada itu, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis ganja.

Begitupun, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, tetapi mengaku telah terlibat dalam jenayah dadah ini pada pertengahan 2017.

Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan, jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat, Kuching untuk siasatan lanjut.