26
Rab, Sep

Saya Tidak Akan Memberontak Jika Tidak Dipilih Semula - Wan Junaidi

Sarawak
Typography

KUCHING - Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Juanidi Tuanku Jaafar akan menerima apa saja keputusan kepimpinan tertinggi parti sama ada dicalonkan semula atau tidak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Menurut Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, beliau  merupakan orang parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan tidak akan sama sekali memberontak sekiranya tidak dicalonkan semula. 

“Saya sudah berada lama di sini dan jika ada muka baharu, dia perlu terus mengekalkan prestasi tinggi yang telah dijalankan di parlimen ini.

“Bagaimanapun, saya menjamin sokongan akar umbi kepada Barisan Nasional (BN) di parlimen ini semakin meningkat dari 2013. Bukan cakap mengenai menang namun peningkatan majoriti sokongan rakyat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Dewan Datuk Seri Dr Wan Junaidi di Kampung Geobilt di sini hari ini. 

Terdahulu, beberapa kerusi Parlimen di Sarawak termasuk Parlimen Santubong akan mempunyai muka baharu bagi menggantikan calon Barisan Nasional (BN) yang sedia ada atas beberapa faktor seperti masalah kesihatan, penurunan prestasi dan sudah tiba masanya calon ditukar.

Perkara ini tidak mustahil kerana sebelum ini Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg telah memberikan ‘signal’ bahawa kepimpinan yang ada pada hari ini perlukan perubahan dalam memastikan agenda memajukan Sarawak tidak tergendala.

Malah, dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Dan Pemuda PBB secara serentak, beliau juga telah memberitahu PBB mempunyai dasar untuk melakukan perubahan kepada pemimpin sejajar dengan keperluan dan kehendak semasa.

“Apa yang menjadikan PBB terus relevan dan semakin teguh ialah kerana pendekatannya yang mengambil kira kepentingan semua kaum dan agama,” katanya.